Orang Luar Cuba Tiru Jaringan Faiz Subri.
Fenomena ‘gol ajaib’ yang dicetuskan oleh Mohd. Faiz Subri sejak 16 Februari tahun lepas dirasai hingga ke luar negara apabila salah seorang pengguna laman sosial Youtube memuat naik video berhubung percubaannya untuk meniru sepakan bebas pemenang Anugerah Puskas 2016 itu.
Mengambil faktor angin, sudut, permukaan padang dan jarak tendangan, pengguna tersebut yang menggunakan nama MrTwiggs bagaimanapun gagal menjaringkan gol selepas membuat 26 tendangan.
Hanya tendangan bebas ke-20 sahaja yang menerjah masuk ke gawang gol, namun tidak dikira kerana bukan menggunakan teknik sepakan seperti digunakan pemain Pulau Pinang itu dalam video bertajuk Mohd Faiz Subri Freekick Wonder Goal Challenge!! berkenaan.
“Saya cuba untuk melakukannya walaupun saya bukanlah seorang pemain bola sepak profesional. Saya sudah mencubanya, tetapi tetap tidak berjaya. Saya salahkan lumpur di padang, cuaca dan angin di sini,” katanya.
Video tersebut hingga kini telah ditonton lebih 300,000 kali sejak dimuat naik Jumaat lalu, iaitu tiga hari sebelum pemain berusia 30 tahun itu dinobatkan selaku pemenang Anugerah Puskas 2016 di Zurich, Switzerland.
Dalam video lain, #semSeries 1 | RECREATING FAIZ SUBRI FREE KICK WONDERGOAL *barefoot*, seorang remaja tempatan pula cuba meniru sepakan itu dengan hanya berkaki ayam dan akhirnya terpaksa mengakui bahawa dia tidak mampu melakukannya tanpa but.
Sementara itu, terdapat juga satu video bertajuk IMPOSSIBLE FREEKICK dipercayai dari Vietnam untuk menunjukkan dia pernah melakukan tendangan seperti Mohd. Faiz setahun lebih awal daripada gol tercantik 2016 itu.
Bagaimanapun, rata-rata komen mempertikaikan remaja tersebut kerana dia berjaya melakukannya selepas mencuba berulang kali dan tidak berada dalam perlawanan sebenar.
Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), berhasrat melelong kelengkapan Faiz sewaktu dia meledak ‘gol ajaib’ itu dengan harga permulaan bidaan baharu iaitu di bawah RM100,000.
Pengurus skuad Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata jersi, seluar, stokin dan but bola yang mula dilelong selepas Faiz menjaringkan gol itu hingga kini masih belum terjual selepas hampir setahun FAP melelongnya dengan harga permulaan sebanyak RM100,000.
“Ya pihak FAP pada tahun lepas pernah mengumumkan hasrat untuk melelongkan jersi (kelengkapan) yang dipakai Faiz semasa menjaringkan gol ajaib itu. Namun pada ketika itu tidak mendapat sambutan.
“Kini kami sedang mempertimbangkan untuk melelongnya sekali lagi. Inilah satu-satunya peluang untuk mana-mana pihak yang berminat memiliki sebahagian daripada detik bersejarah itu,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Zairil turut memberitahu pihaknya tidak berhasrat melepaskan Faiz yang mempunyai kontrak setahun bersama skuad Harimau Kumbang itu kepada mana-mana pasukan memandangkan tarikh jendela perpindahan Liga Malaysia 2017 akan ditutup pada 22 Januari ini.
Sumber : Utusan Malaysia
Ulang siar entri Orang Luar Cuba Tiru Jaringan Faiz Subri. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment