Penjual Nasi Lemak Anak Dara & Kaitannya Dengan Keadaan Ekonomi Negara - Ulasan YG Anda Mesti Baca.
Apanya masalah struktur ekonomi yang menyebabkan graduan universiti jual nasi lemak? Berikut adalah rencana saya pada Mac 2014 di Harakah Ekonomi Nasi Lemak
Oleh Liew Chin Tong
Ahli Parlimen DAP
Seandainya semua orang mengikat perut dan tidak berbelanja lantaran kesempitan wang, maka penjaja akan menggulung tikar.
Pengilang akan menghentikan operasi kerana tiada tempahan, lantas mereka yang bekerja untuk peruncit, pengilang dan sektor rantaian daripada hubungan ini bakal kehilangan rezeki.
Teori hubungan antara pembekalan dengan permintaan yang semudah ini sepatutnya senang difahami, tetapi ia menjadi rumit untuk sesebuah negara yang akalnya bertunjangkan kangkung. Maka teori kangkung dan ikan sejuk beku dilontarkan sewenang-wenangnya.
Isteri Timbalan Menteri pula tampil berkongsi petua cara hidup berjimat, termasuklah seruan makan ikan sejuk beku kerana harga ikan segar lebih mahal; masaklah sendiri supaya perbelanjaan untuk makan di luar boleh dipotong; atau menanam sayur di rumah supaya wang untuk membeli sayur boleh dijimatkan.
Paling hebat kalau dapat kangkung, kerana ia tumbuh sendiri tanpa perlu dijaga. Ringkasnya, keluarga yang sudah bermasalah untuk menanggung kos sara hidup, kini diseru untuk mengurangkan lagi perbelanjaan dalam makanan, yang padahalnya amat terhad.
Cara sedemikian hanya memeras lagi seringgit dua atau beberapa sen untuk dijimatkan daripada kos setiap hidangan makanan. Bagaimanapun, pendekatan sedemikian bakal menjurus kepada situasi yang menyaksikan pertentangan - Setiap orang mengurangkan permintaannya, tetapi pada masa yang sama, setiap orang cuba menawarkan sesuatu ke dalam pasaran untuk menambah pendapatan dirinya. Apakah kesannya terhadap ekonomi secara keseluruhannya, apabila permintaan berkurang, tetapi pembekalan bertambah?
Tatkala kerajaan memberi lampu hijau untuk kenaikan harga (kononnya pengurangan subsidi) dalam bidang penggunaan awam (terutamanya tarif elektrik dan perbelanjaan yang berkaitan dengan pengangkutan), ditambah pula inflasi yang disebabkan penurunan nilai mata wang ringgit - maka pendapatan boleh guna yang ada dalam tangan rakyat semakin berkurang.
Inflasi tercetus hasil daripada "austerity policy" (dasar mengurangkan defisit dengan menaikkan cukai, mengurangkan perbelanjaan dsb) oleh kerajaan dan penurunan nilai mata wang ringgit yang berlaku secara serentak. Apa yang melucukan adalah gelagat kerajaan untuk berhempas-pulas mencari kambing hitam, misalnya "melancarkan jihad untuk memerangi orang tengah".
Di kampung, seandainya wang tunai tidak cukup dalam tangan, maka pilihan yang paling mudah untuk penduduk kampung adalah menanam sayur dan membela ayam sendiri - sebagai cara menyara diri dari segi ekonomi. Namun, seruan agar warga bandar yang tinggal di dalam flat, apartment, rumah kos rendah, rumah setinggan untuk menanam sayur dan membela ayam adalah tidak realistik. Pekebun yang menyara diri di bandar namanya penjaja.
Bilangan penjaja sudah tentu bertambah apabila ekonomi tidak baik, kerana mereka cuba mencari pendapatan tambahan. Usahlah kita mempercayai dakwaan Pak Menteri bahawa betapa pesatnya ekonomi Malaysia membangun, apabila kita mendapati semakin banyak gerai nasi lemak di tepi jalan. Apabila penjaja nasi lemak semakin bertambah (maknanya ekonomi menjunam), keluarga yang menjamu selera di restoran ketika ekonomi melonjak kini pula menanam sayur dan mengisi perut dengan masakan sendiri di rumah.
Secara logiknya, bagaimana penjaja nasi lemak yang baru memulakan perniagaan ini mendapat rezeki, sedangkan pengguna tidak lagi membeli makanan dari luar? Jikalau kita mengupas selanjutnya, pekebun bandar di Malaysia, iaitu penjaja dan peniaga - bilangannya agak tinggi berbanding negara lain pada zaman kepesatan ekonomi.
Menurut Laporan Bank Dunia pada tahun 2009, 35% ketua keluarga (household heads) melibatkan diri dalam sektor informal. Dari penjaja, peniaga, pengamal jualan langsung hinggalah pemberi pinjaman wang - merekalah antara yang tergolong dalam "sektor informal".
Ramai orang sedar bahawa rezeki tidak ke mana jika sekadar kerja makan gaji. Kerja yang formal pula ditekan gajinya lantaran kebanjiran pendatang asing kurang mahir. Mustahil pekerja tempatan bersaing dengan pendatang asing dari segi gajinya.
Gaji yang ditawarkan terlalu rendah untuk seseorang warga tempatan menampung kos sara diri, maka mereka terpaksa mencari jalan lain untuk "berniaga". Hakikatnya, bilangan penjaja dan peniaga agak tinggi pada asalnya. Harga tidak ke mana, keuntungan pun tidaklah tinggi. Kini mereka berdepan dengan masalah peningkatan kos, ditambah pula dengan kemasukan pesaing baru (penjaja baru) ke dalam gelanggang. Pembeli berkurang, tetapi penjaja bertambah. Situasi sedemikian menjurus kepada sesuatu yang dipanggil "kemelesetan".
Di negara yang sukar cari makan dengan makan gaji - ia menandakan permulaan krisis apabila penjaja pun gagal mencari makan. Lebih parah, perusahaan besar yang menawarkan "nasi lemak telanjang" untuk pelanggannya bertahan berdekad-dekad sungguhpun mengalami kerugian berbilion-bilion ringgit, penjaja di tepi jalan yang menjual nasi lemak siap sempurna dengan ikan bilis, timun, kacang, sambal, telur - gagal bertahan lama. Inilah ekonomi nasi lemak, yang harus direnungi sedalam-dalamnya oleh peminat kangkung.
Ulang siar entri Penjual Nasi Lemak Anak Dara & Kaitannya Dengan Keadaan Ekonomi Negara - Ulasan YG Anda Mesti Baca. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada PASTA DotMy iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment