Ya, Pengguna Perlu Bayar Penalti Jika Rehat Lama-Lama Di RnR Kata PLUS.
Kenyataan Media
12 Oktober 2016
Guna Lebuhraya Lebih Masa Dikenakan Penalti Tidak Logik, Mengundang Kecelakaan
Respon syarikat konglomerat Projek Lebuhraya Utara Selatan Malaysia Berhad (PLUS) semalam berkenaan caj tambahan pengguna lebuhraya yang lewat keluar tol adalah amat mendukacitakan. PLUS kini secara senyap telah mengenakan caj Penalti Perjalanan Melebihi Tempoh Yang Ditetapkan atau 'Long Journey Time' (LJT), bagi pengguna lebuhraya yang melebihi masa ditetapkan.
Menurut PLUS dalam kenyataannya, pengguna lebuhraya hanya layak berhenti rehat di hentian Rawat dan Rehat (RnR) selama 2.3jam (138 minit) dan ditambah dengan jumlah masa perjalanan dengan formula tertentu. Sekiranya masa yang diambil oleh pengguna lebuhraya melebihi jumlah masa rehat dan formula jarak perjalanan tersebut, penalti akan dikenakan kepada pengguna.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membantah keras penalti yang dikenakan secara senyap oleh PLUS terhadap pengguna lebuhraya. Penalti yang dikenakan ini tidak logik sama sekali malah boleh berlaku tanpa pengetahuan pengguna lebuhraya yang menggunakan kaedah pembayaran Touch n Go. Alasan kononnya berlaku manipulasi kad transit oleh sesetengah pengguna lebuhraya adalah tidak rasional, sepatutnya pihak PLUS punya mekanisma lebih baik untuk atasi masalah ini, bukan dengan cara menghukum pengguna dengan cas tambahan.
Hentian RnR adalah kawasan rehat untuk pengguna lebuhraya, pihak PLUS tidak wajar menetapkan waktu rehat bagi pengguna. Berapa jam pengguna ingin berehat adalah terpulang kepada pengguna kerana laluan lebuhraya ini dibayar, bukan percuma. Pengguna lebuhraya acapkali disaran untuk berehat sekiranya mengantuk, ini demi mengelakkan kemalangan akibat kepenatan atau tertidur akibat rehat yang tidak cukup. Namun kini PLUS pula mengenakan penalti hanya kerana berehat lebih masa.
Penalti yang dikenakan menyebabkan pengguna lebuhraya lebih terdesak dengan kadar tol yang sememangnya tinggi, kini pengguna akan mengelak untuk berhenti rehat supaya tiada penalti dikenakan terhadap mereka. Malah pengguna juga akan memandu melebihi had laju demi mengejar masa mengelak penalti tersebut. Situasi ini lantas membahayakan semua pengguna lebuhraya.
Apakah PLUS sudah menjadi kapitalis yang kejam? Apakah PLUS ingin bertanggungjawab terhadap kemalangan akibat daripada pengguna lebuhraya yang tidak berhenti rehat?
SAMM juga ingin mencadangkan supaya pihak PLUS pula dikenakan penalti sekiranya berlaku kesesakkan di lebuhraya kendalian PLUS. Formulanya, perjalanan dari tol Seremban ke tol Sg Besi hanya mengambil masa hanya 40 minit, jika berlaku kesesakkan hingga menyebabkan kelewatan lebih 50% dari masa perjalanan sebenar, iaitu lewat sehingga perjalanan menjadi lebih sejam, maka pihak PLUS wajar memberikan diskaun di antara 20%-50% bergantung kepada masa kelewatan. Alasannya, lebuhraya bertol adalah laluan berbayar yang sepatutnya menjimatkan masa. Jika laluan di lebuhraya menjadi terlalu sesak hingga melambatkan masa pengguna, untuk apa laluan itu dibayar?
Akhir sekali, SAMM menggesa supaya penalti yang tidak logik ini dimansuhkan segera. Pengguna lebuhraya sudah memberikan keuntungan berlipat ganda kepada PLUS, mengapa PLUS masih lagi menghimpit nasib pengguna lebuhraya dengan penalti ini?
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Ulang siar entri Ya, Pengguna Perlu Bayar Penalti Jika Rehat Lama-Lama Di RnR Kata PLUS. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada PASTA DotMy iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment