Dan Ini Bukti 'Tanah Adat' Orang Asal Dimusnahkan Dek Pembalakan Di Gua Musang - Sekali Lagi PAS Kantoi Menipu..
Rakaman udara yang meninjau kesan pembalakan di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal Balah di Gua Musang nampaknya tidak menyebelahi kerajaan Kelantan, yang mendakwa aktiviti dijalankan mengikut tatacara operasi standard lapor FMT.
Diberitahu lebih 80% aktiviti pembalakan dilakukan berhampiran penempatan Orang Asli. Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) mendakwa skala pembalakan di kawasan terbabit memberi kesan kepada kira-kira 13,000 orang dan melibatkan 17 pos Orang Asli.
Video daripada Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) menunjukkan banyak bukit-bukau yang gondol, dengan pokok yang ditebang dilonggokkan di satu tempat.
Video daripada Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) menunjukkan banyak bukit-bukau yang gondol, dengan pokok yang ditebang dilonggokkan di satu tempat.
Rakaman juga menunjukkan banyak laluan keluar masuk dibina ke kawasan pembalakan, yang terletak lebih 2 jam perjalanan dari bandar Gua Musang.
Orang Asli yang terkesan mendakwa aktiviti pembalakan sudah mencemari sumber kehidupan mereka.
Menurut seorang Orang Asli, Mohd Nasir Dollah, kawasan yang digondol itu dahulunya tempat Orang Asli bercucuk tanam. “Kawasan yang digondol juga dikatakan digunakan pihak berkepentingan untuk membina ladang rakyat.”
Kerajaan negeri bagaimanapun berkata pembalakan sudah dirundingkan dengan penghulu-penghulu di kawasan yang berkenaan, manakala pimpinan PAS mendakwa Orang Asli terbabit dihasut pihak tertentu.
Dakwaan itu dinafikan oleh Orang Asli dan badan bukan kerajaan.
Sejarah asal nenek moyang musnah
Pada Selasa lalu, 47 Orang Asli diberkas dalam usaha kerajaan negeri membuka laluan kepada pembalak berlesen memasuki kawasan yang dikatakan tanah adat mereka.
Jabatan perhutanan negeri berkata halangan Orang Asli menyebabkan pokok yang ditebang tetapi tidak dapat dikeluarkan mengalami “pereputan nilai”.
Tapi bagi penduduk yang ditemui oleh wartawan FMT, aktiviti pembalakan sudah memusnahkan tempat keramat, seperti Gua Cha, yang menempatkan sejarah asal nenek moyang dan kubur keluarga mereka.
“Bila Orang Asli tuntut jawapan kami dikatakan ditipu dan tidak mempunyai bukti, sedangkan kebanyakan Orang Asli mengebumikan jenazah di merata tempat,” kata Nasir, yang membawa FMT melihat sendiri keadaan di Kampung Pos Gob dan Kuala Bering.
Terpaksa minum air berkelodak
Di lapangan, wakil FMT mendapati air sungai di kawasan terkesan berkelodak, manakala ketiadaan pokok menyebabkan tanah menjadi longgar dan menimbus anak-anak sungai.
“Mereka kata mereka ikut SOP. SOP kata dalam jarak 5 rantai dari sungai tapi balak ditebang rapat ke sungai,” kata Nasir.
Menurut orang kampung, sumber air bagi lebih 17 desa terjejas angkara “pembalakan melampau”.
“Kami terpaksa minum dan mandi air berkelodak kerana tiada pilihan lain,” kata Nasir.
Sebelum ini, Timbalan menteri besar berkata pembalakan di Gua Musang itu daripada konsesi dalam Hutan Simpan Kekal Balah.
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pihaknya boleh menghentikan pembalakan jika Putrajaya membayar royalti minyak mengikut perjanjian asal.
Sumber : Free Malaysia Today.
Ulang siar entri Dan Ini Bukti 'Tanah Adat' Orang Asal Dimusnahkan Dek Pembalakan Di Gua Musang - Sekali Lagi PAS Kantoi Menipu.. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment