Dek Beli Produk Penjagaan Muka Sebarangan, Tak Pasal-Pasal Muka Bernanah!

 On Wednesday, April 12, 2017  

Dek Beli Produk Penjagaan Muka Sebarangan, Tak Pasal-Pasal Muka Bernanah!

Dek Beli Produk Penjagaan Muka Sebarangan, Tak Pasal-Pasal Muka Bernanah!

Gadis tersebut memakai penutup muka (facemask). Aku tertanya-tanya. Biasanya pesakit Tuberculosis yang diminta memakai facemask kerana penyakit tersebut mudah berjangkit. Atau pesakit kanser yang sedang menjalani kimoterapi kerana mereka mudah dijangkiti kuman.
Tetapi, apa yang membuatkan gadis 20-an ini datang ke klinik pada petang ini?
"Maaflah doktor, saya malu sebenarnya." ujarnya lemah. Tangannya perlahan menurunkan facemask yang dipakai.
Maka terpampanglah wajah gadis ini. Kulitnya menggelupas. Nanah kering sebesar syiling 50 sen bertompok-tompok di pipinya. Masih ada bahagian kulit mukanya yang kemerahan. Berlendir. Ada yang baru hendak naik bintik, persis jerawat. Tapi bukan jerawat.
"Produk apa, yang cik pakai?" soalku spontan. Sekali pandang aku sudah mengetahui, pasti ada penyebabnya. Ini bukan kali pertama aku menjumpai kes sebegini.
"********", jawabnya ringkas. Aku mengangkat kening. Baru pagi tadi aku membaca kenyataan media terbaru dari Datuk Ketua Pengarah Kesihatan.
Aku mengeluarkan telefonku dan aku membuka website KPK. Aku tunjukkan kepadanya gambar produk berkenaan.
"Yang ini ke, cik?"
"Ya, kedua-duanya!"
Aku bertanya lebih lanjut beberapa soalan kepadanya. Sudah berapa lama guna. Di mana dia membelinya.
"Dah dekat dua minggu guna. Beli di pasar malam."
"Saya ada jumpa penjual tersebut semalam. Penjual tu kata muka saya jadi begini kerana badan mengeluarkan toksik sebab sebelum ini banyak pakai pencuci muka yang ada bahan kimia."
"Healing crisis?" aku bertanya.
"Ya, betul doktor, itu yang dia bagitahu. Betul ke?"
"Cik, ini bukan healing crisis. Tidak ada apa yang disebutkan sebagai healing crisis. Sebaliknya ini adalah kesan penggunaan bahan terlarang didalam produk tersebut." aku menjelaskan.
Tampak hiba di wajahnya.
"Cik, sudah berkahwin?" aku bertanya lagi. Beliau tersenyum-senyum sengih. Mungkin ingat aku cuba mengoratnya. Lantas menggelengkan kepala.
"Maaflah kerana bertanya. Maksudnya cik bukannya pregnant atau sedang cuba pregnant lah kan?" aku sengaja bertanya lagi. Kerana aku perlukan kepastian.
"Eh mestilah tak. Kenapa, doktor?" gadis itu pun cuba mendapatkan penjelasan.
"Bukan apa, cik. Kerana dalam salah satu produk tersebut, pihak KKM mengesahkan ada bahan bernama tretinoin."
Bundar mata beliau mendengar aku menyebut nama bahan kimia tersebut.
"Tretinoin, adalah sejenis bahan yang digunakan untuk merawat jerawat. Tetapi, ianya sangat kuat. Kuat dari segi kata, kesan sampingannya.
Kesan sampingan yang saya maksudkan, adalah jika seseorang itu mengandung sama ada sedar atau tidak, khususnya pada trimester pertama, janin beliau berisiko untuk mengalami kecacatan!"
Wajah gadis tersebut berubah pucat.
"Kesan tretinoin yang cukup kuat ini, menyebabkan ubat ini biasanya hanya dipreskripsi oleh doktor pakar kulit. Saya sendiri tidak dibenarkan memberi ubat ini kepada pesakit, kerana saya bukan pakar kulit.
Dan pakar kulit sendiri pun, apabila beliau mahu memulakan rawatan dengan ubat ini, pesakit perlu menandatangi persetujuan (consent) bahawa sekiranya ditakdirkan pesakit mengandung ketika menjalani rawatan tretinoin, dan berlaku kecacatan kepada janinnya, doktor pakar kulit ini tidak akan dipertanggungjawabkan. Maksudnya pesakit bertanggungjawab mengambil langkah-langkah pencegahan kehamilan sepanjang menjalani rawatan dengan ubat ini!"
Gadis tersebut menunduk. Terdengar perlahan dia menyebut..
"Astaghfirullah....
Sebenarnya doktor...kakak saya pun ada menggunakan produk ini juga. Tapi dia tidak mengalami masalah kulit seperti yang berlaku kepada saya. Kakak saya tersebut, sedang mengandung anak sulung, baru dua bulan!"
Aku menarik nafas panjang.
"Saya sarankan cik nasihatkan kakak cik untuk berhenti menggunakan produk ini, dan maklumkan perkara tersebut kepada doktor klinik tempat beliau check up. Dikhuatiri beliau perlu menjalani scan yang terperinci (detailed scan) untuk mengenalpasti adakah ada masalah pada janin beliau."
Mata gadis tersebut bergenang.
"Kenapa produk dengan bahan berbahaya sebegini dijual di pasar-pasar malam, doktor..." tanyanya. Aku pula yang serba salah. Namun aku menjawab dengan tuntas,
"Kerana ada orang yang membelinya."
Lantas gadis tersebut diam. Sentap, agaknya.
"Awak, taknak ambil apa-apa tindakan ke kepada syarikat produk ini? Bukti sudah ada." aku cuba menghasutnya.
Beliau hanya mendiamkan diri seketika, sebelum berkata - "Tak apalah, doktor, benda dah jadi, saya taknak tutup periuk nasi orang."
Maka aku pun menjawab dengan senyuman,
"Kes sebegini, kalau jadi di hospital-hospital kerajaan, berduyun-duyunlah orang akan memarahi doktor dan hospital. Viral di media sosial, katanya doktor cuai memberikan ubat. Silap haribulan kena saman berjuta-juta. Tapi yelah. Itu kalau berlaku di hospital kerajaan."
Sengaja aku cuba "membakar" beliau.
Tapi sejujurnya, memang aku sudah bosan dengan produk-produk sebegini yang melambak di pasaran. Produk-produk yang mengandungi bahan terkawal dan berbahaya, namun dijual secara berleluasa. Dengan testimoni-testimoni yang indah-indah, "babi pun boleh terbang". Kanser pun boleh sembuh. Kencing Manis pun jadi tawar.
Padahal mengandungi bahan seperti steroid, yang penggunaan secara kronik dan tidak terkawal dosnya menyebabkan kerosakan buah pinggang. Akhirnya datang ke hospital juga, dan kami juga yang perlu merawat pesakit-pesakit yang menjadi mangsa kepada kapitalis tidak beretika seperti ini.
Aku menghabiskan sesi pada petang ini dengan menerangkan rawatan yang aku berikan kepada gadis tersebut. Aku meminta izin untuk mengambil gambar mukanya untuk tujuan laporan advers dan aku berjanji akan melindungi identitinya.
Gambar yang dipaparkan ini, bukan gambar gadis tersebut. Ianya hasil dari carian google, namun inilah yang berlaku pada wajah gadis itu.
Dan aku harap masyarakat lebih bijak mengetahui bahawa nombor notifikasi, bukanlah nombor kelulusan.
Dan sijil paten harta intelek, bukanlah sijil "KKM Approval".

Ulang siar entri Dek Beli Produk Penjagaan Muka Sebarangan, Tak Pasal-Pasal Muka Bernanah! bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
Dek Beli Produk Penjagaan Muka Sebarangan, Tak Pasal-Pasal Muka Bernanah! 4.5 5 Unknown Wednesday, April 12, 2017 Dek Beli Produk Penjagaan Muka Sebarangan, Tak Pasal-Pasal Muka Bernanah! Oleh : Mohd Syamirullah Rahim Gadis tersebut memakai penutu...


No comments:

Post a Comment