Isu Pusat Tahfiz - Akhirnya Ibu Bapa, Anak-Anak Jadi Mangsa Kata MAZA..

 On Friday, September 15, 2017  

Isu Pusat Tahfiz - Akhirnya Ibu Bapa, Anak-Anak Jadi Mangsa Kata MAZA..

Isu Pusat Tahfiz - Akhirnya Ibu Bapa, Anak-Anak Jadi Mangsa Kata MAZA..

Oleh  : MAZA
Buat sekian kalinya kita mendengar tragedi pusat tahfiz. Sekali lagi saya bangkit apa yang pernah saya catat beberapa bulan lepas:
Kebelakangan ini timbul beberapa isu tentang sekolah agama dan tahfiz persendirian yang tumbuh serata tempat.
Pelbagai isu berbangkit, termasuk kebakaran, kes penyeksaan, kematian pelajar dan pelbagai isu keselamatan yang lain. Di sini saya ingin sebut beberapa nota ringkas untuk perhatian ibu bapa yang mulia hasrat mereka dan pihak berwajib.
Ramai, bahkan mungkin keseluruhan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah agama dan tahfiz dengan hasrat dan niat yang baik.
Namun ramai dalam kalangan mereka mungkin tidak begitu memahami ataupun memikirkan secara seimbang apakah yang mereka mahu bagi masa depan anak-anak tersebut.
Di kalangan mereka, disebabkan tidak begitu memahami agama menganggap hanya dengan belajar di sekolah agama maka itu sudah memadai.
Tidaklah mereka faham istilah yang dimaksudkan dengan ‘tafaquh’ atau mendalami agama dalam erti kata yang sebenar. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menilai walaupun secara umum kedudukan ataupun kualiti sekolah agama yang mereka hantar anak-anak mereka belajar.
Ibu bapa hendaklah sedar, bahawa anak-anak kita membesar dan akan hidup di era ini. Era yang penuh dengan cabaran terhadap agama dan menuntut kemampuan memahami teks dalam konteks yang betul.
Justeru itu, pendidikan agama yang baik hendaklah diseimbangkan dengan keperluan cabaran masa kini.
Kelulusan tenaga pengajar
Demikian, amat penting untuk difahami bahawa menjadi ilmuwan agama bukan sekadar menghafal nas dan bernasyid semata, tetapi hendaklah mampu memahami apa yang dihafal dan dapat menghuraikan makna Islam selaras dengan tuntutan semasa.
Jika hasrat ibu bapa itu sekadar memberikan pengetahuan asas agama kepada anak-anak mereka, hendaklah mereka sedar bahawa anak-anak mereka selain daripada bersolat dan berzikir, juga perlu hidup seperti manusia lain.
Maka ilmu yang membolehkan mereka mencari rezeki yang halal amatlah diperlukan. Ini sama ada mata pelajaran akademik lain selain mata pelajaran agama, ataupun ilmu kemahiran hidup yang membolehkan penerusan hidup mereka di masa hadapan.
Ibu bapa hendaklah tahu bahawa bukan semua yang dipanggil ustaz itu baik kualiti bahasa Arab dan bagus pengetahuan agamanya.
Lebih daripada itu, gelaran ustaz bukan jaminan kemaksuman seseorang sehingga kita boleh mempercayai segala yang dia beritahu tanpa penelitian dan siasatan. Maka, langkah berwaspada untuk masa depan anak-anak kita adalah sesuatu yang dituntut.
Terdapat sekolah tahfiz dan agama swasta yang baik, mengikut peraturan dan berkualiti. Ini dapat diukur dengan banyak ciri, antaranya kualiti kelulusan guru-guru yang mengajar, sukatan pelajaran dan persekitaran pembelajaran.
Secara umumnya, sekolah-sekolah agama ataupun tahfiz di bawah Kementerian Pendidikan diurus tadbir dengan baik di sudut kualiti pelajaran.
Namun tidak boleh dinafikan di sana terdapat sekolah agama dan tahfiz diwujudkan tanpa melengkapi keperluan yang sepatutnya.
Sebahagiannya hanya kerana semangat ‘ustaz-ustaz’ tertentu yang ingin menubuhkan sekolah sendiri di atas pelbagai tujuan peribadi lalu diwujudkan sekolah mereka sendiri sekalipun tidak memenuhi keperluan pendidikan yang sepatutnya.
Ada ustaz dia sendiri gagal dahulunya dalam pendidikan, akhirnya membuka sekolah sendiri tanpa memiliki sijil ataupun latihan pendidikan yang sepadan.
Apatah lagi untuk memiliki diploma atau sijil perguruan. Akhirnya, mereka menjadi tenaga pengajar yang tidak cukup ilmu dalam bidang pendidikan dan kaedah ataupun pedagogi pengajaran.
Kepentingan sendiri
Sekolah-sekolah yang tidak berkualiti itu, bagi menjimatkan kos gaji guru, mereka mengambil sesiapa sahaja yang bersedia mengajar sekalipun bukan bidang berkaitan.
Maka tenaga pengajar yang tidak cekap, tidak berpengalaman dan ‘bidan terjun’ ataupun ‘tangkap muat’ mengajar di sekolah-sekolah tersebut.
Individu yang tidak begitu tahu bahasa Inggeris mengajar bahasa Inggeris, yang tidak mahir matematik mengajar matematik, sains, sejarah dan seterusnya.
Sebahagian mereka ini hanya bekerja sementara menunggu peluang pekerjaan lain, maka tahap tanggungjawab juga rendah.
Terdapat pemilik-pemilik sekolah tahfiz dan agama yang menubuhkan sekolah mereka untuk kepentingan diri mereka. Mereka guna nama tahfiz dan agama untuk mengutip derma dan sumbangan.
Wang yang disumbangkan itu, tidak mempunyai jawatankuasa ataupun badan audit ataupun amanah yang mengawal. Akhirnya, jika tidak jaga amanah, pemilik tahfiz ini mewah dengan sumbangan orang ramai, sementara sekolah mereka dalam keadaan daif.
Lebih dukacita lagi, ada yang menggunakan pelajar untuk mengutip derma sehingga kita lihat, anak-anak tahfiz di lebuh raya, kedai makan, pasaraya dan seumpamanya untuk mengutip wang daripada orang ramai.
Dukacita, akhirnya yang menjadi mangsa ialah ibu bapa dan anak-anak muslim yang ingin mencari ilmu agama tetapi tersalah tempat kerana ‘sangkaan’ baik kepada pusat-pusat tahfiz ataupun sekolah agama yang sedang tumbuh bagaikan cendawan ini.
Justeru, bagi menyelamatkan masa depan anak-anak umat Islam, perkara ini hendaklah diteliti dan dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab.

Ulang siar entri Isu Pusat Tahfiz - Akhirnya Ibu Bapa, Anak-Anak Jadi Mangsa Kata MAZA.. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
Isu Pusat Tahfiz - Akhirnya Ibu Bapa, Anak-Anak Jadi Mangsa Kata MAZA.. 4.5 5 Unknown Friday, September 15, 2017 Isu Pusat Tahfiz - Akhirnya Ibu Bapa, Anak-Anak Jadi Mangsa Kata MAZA.. Oleh  : MAZA Buat sekian kalinya kita mendengar tragedi pusat...


No comments:

Post a Comment