Dek Kerna Makan Jus Ganti Ubat, Pakcik Ini Hilang Kaki.
Oleh : Kamarul Ariffin Nor Sadan
52 tahun, ada kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung. Dirujuk kepada Jabatan Rehabilitasi untuk rawatan lanjutan luka kencing manis pada kaki.
Luka di tapak kaki dia sebesar tapak tangan. Besar. Bernanah. Busuk.
Perkara pertama kami tekankan pada dia adalah ketekunan mengambil ubat. Pesan dia agar jangan culas ambil ubat kencing manis, darah tinggi dan jantung.
Kami ajar dia teknik cucian luka yang betul. Perkenal dia cucian luka yang terbaik untuk lukanya. Ajar dia cara penjagaan kaki.
2 bulan lepas tu, luka dia semakin kecil. Dah besar duit 2 puluh sen. Jadi, kami beri janji temu lama sedikit. 4 bulan.
Gambar - Kamarul Arifin Nor Sadan |
Ya. Seperti yang anda teka, kes itu adalah pesakit yang kami rawat luka di kakinya dulu. Kali ini, masuk wad, luka itu bertambah teruk dan terpaksa dipotong.
“Apa jadi pakcik? Bukan luka tu dah makin elok?” tanya saya pada pesakit.
“Entah. Tiba-tiba jadi makin teruk.” balasnya.
“Ubat pakcik makan tak?”
Biasanya, luka kencing manis di kaki ni, akan memperparah jika paras gula dalam darah tak terkawal atau langgar pantang larang iaitu: tak cuci luka dan banyak berpijak pada luka itu.
Saya semak rekod perubatannya. Allahu. Paras gula dalam darah sekitar 18 mmol/L. Tekanan darah 160/95 mmHg. Bacaan fungsi buah pinggang pun caca marba. Fungi hati pun tunggang langgang.
“Itulah. Saya berhenti makan ubat. Orang kata makan ubat banyak-banyak, nanti buah pinggang rosak.”
“Siapa cakap macam tu?”
“Anak saudara saya. Dia kata ubat hospital banyak tak elok makan lama-lama. Dia saran bil satu produk tu. Jus A(bukan nama sebenar). Dia kata boleh turunkan gula secara semulajadi. Tak rosakkan buah pinggang. Katanya ramai dah sembuh sebab ambil jus tu.” jelas pakcik.
“La pakcik, kan saya dah pesan jangan culas ambil ubat. Kalau tak makan ubat nanti paras gula tak cantik. Abis tu luka pakcik cuci tak?”
“Cuci. Tapi pakai madu beli dari anak saudara saya. Madu yang doktor suruh beli di farmasi tu mahal. ”
Kami memang suruh dia cuci guna madu, tapi madu gred medikal yang dirumus khas untuk cucian luka. Bukan boleh guna sebarang madu.
Inilah perkara yang para doktor kena hadap. Untuk lariskan produk, penjual menanamkan rasa takut kepada ubat hospital dengan mengatakan ubat hospitap merosakkan buah pinggang.
Padahal, kencing manis dan darah tinggi tak terkawal, akan buah pinggang rosak dengan cepat. Manakala dengan mengawal kencing manis dan darah tinggi dengan ubat, buah pinggang terjejas dengan kadar yang lebih lambat.
Untuk lebih berhati-hati, kami buat pemeriksaan berkala untuk pantau kesihatan buah pinggang tu. Jika ada ura-ura nak rosak, kami akan lakukan sesuatu.
Penjual, lepas dia jual produk, ada dia pantau?
Sekarang ni kaki dah kena potong. Buah pinggang dah rosak. Hati pun dah naik rosak. Penjual produk ada nak bantu? Ada dia nak carikan dana untuk kaki palsu dan dialisis?
Tiada kan?
Siapa yang tolong nanti? Doktor dan KKM juga yang carikan dana melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan. Jangan harap penjual produk nak hulur dana. Kerja dia ambil duit kau orang je.
Namun, doktor juga yang dilabel Yahudi. Aduhai.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Bukan ejen Yahudi
Bukan ejen Yahudi
Ulang siar entri Dek Kerna Makan Jus Ganti Ubat, Pakcik Ini Hilang Kaki. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment