Wanita Kongsi Pengalaman Buruk Ketika Diperiksa Keselamatan Di Lapangan Terbang Adisucipto.
Oleh : Maryam Lee
Kejadian ini telah aku pendam selama 14 hari. Belum aku ceritakan kerana 1) ia sangat sensitif dan 2) aku cukup trauma untuk tidak berasa selamat menceritakannya selama aku masih di Jogja pada ketika itu. Kejadian tanggal 31 Disember 2017 di lapangan terbang Adisucipto, Yogyakarta, lebih kurang pukul 10:30 pagi waktu tempatan. Satu kejadian yang aku tidak sama sekali bayangkan akan pernah terjadi kepada diri aku, dengan pengetahuan dan latihan aktivisme selama lebih 5 tahun.
Aku diminta untuk melalui proses pemeriksaan fizikal hingga ke tahap bogel seluruhnya, dan diperiksa anggota sulit di hadapan sebuah cermin besar, yang menurutku sangat tidak manusiawi.
Ceritanya begini. Ini bukan pertama kali aku ke Indonesia, malah ini bukan pertama kali aku ke Yogyakarta. Aku sering menganggap Indonesia itu bagai rumahku sendiri, dan Yogyakarta sebuah kota yang aku sayangi lebih daripada kota-kota lain yang pernah aku kunjungi. Aku ke Yogyakarta untuk menyambut tahun baru dengan teman-teman aku di sana, sudah aku janji untuk membawa beberapa oleh-oleh dari Kuala Lumpur buat mereka. Makanya, dalam bagasi aku ada oleh-oleh berbentuk dua paket serunding ayam, empat biji telur asin, dan skirt batik dari Terengganu.
Entah kenapa sekuriti begitu ketat sekali pada hari itu, aku kira mungkin kerana ramai yang datang ke Jogja untuk menyambut tahun baru. Aku berikan slip deklarasi barangan ke pegawai imigrasi. Dilihat aku mengisytiharkan serunding dan telur asin yang nilainya tidak sampai 200,000rp. Pegawai itu memandangku dan tanya di mana barang-barang itu sekarang, aku jawab ada di dalam bagasi. Dia kata ok, suruh aku berdiri bersama bagasi dan tunggu pemeriksaan anjing.
Kesemua penumpang warganegara asing dari pesawatku disuruh berhenti untuk pemeriksaan anjing. Kerna proses imigrasiku agak cepat, aku orang pertama dalam barisan pemeriksaan anjing itu. Setelah beberapa minit, dan sudah cukup satu barisan untuk pemeriksaan, anjing melewati setiap seorang dari kami. Selesai. Tidak ada apa-apa yang dicurigai anjing. Kemudian, seperti biasa, bagasiku harus lewat mesin pengimbas imej. Dan di sinilah bermulanya kisah ngeri yang menghantui pagi terakhir tahun 2017 buatku. Imigrasi menahan bagasiku dan membongkar segala isinya. Tiada apa-apa alasan yang diberikan kepadaku.
"Kamu dari Malaysia?"
"Iya, pak,"
"Ada apa di sini?"
"Liburan, pak,"
"Kamu sendiri?"
"Saya sendiri,"
"Apa ini?" Pegawai itu menemukan telur asin yang aku bungkus dalam tuala (handuk).
"Telur asin,"
"Sudah matang?"
"Belum,"
Telur asin dikeluarkan dan dimasukkan semula ke dalam mesin pengimbas imej. Agak lucu difikirkan ketika telur asin yang telah melewati pengimbas yang sama sebentar tadi, dikeluarkan semula untuk diimbas lagi. Adakah tubuh kecil aku ini begitu mencurigakan sehingga perlu begini? Dalam ruangan bagasi yang sama, pegawai imigrasi menemukan beberapa kondom yang belum dibuka. Aku tenang saja kerana aku tahu aku tidak melakukan salah apa-apa, dan tidak melakukan hal yang melanggar undang-undang.
Harus aku jelaskan di sini aku seorang perempuan muda yang belum menikah, pergi ke negara orang seorang diri dan berjalan sendiri ke mana-mana. Mungkin ini menjadi sesuatu yang aneh ketika ada beberapa kondom di dalam begku juga, untuk banyak sebab yang bukan urusan siapa-siapa. Ramai yang tidak memahami, dalam kehidupan sehari-hari seorang aktivis feminis, seks itu satu hal taboo yang paling sulit dibicarakan di ruang awam, apa lagi ketika berhadapan dengan pihak berkuasa. Ketika aku disoal berkali-kali oleh pegawai imigrasi, kenapa ada kondom di dalam beg, apa yang harus aku jawab selain "apa lagi kegunaan kondom, pak? Masa digunakan untuk basuh baju?" Aku cuba untuk memperjelaskan, bagaimana kondom di tangan seseorang itu bukan hanya untuk diri mereka. Apa lagi di tangan seorang pekerja feminis, sang pemegang kondom untuk para teman atau pekerja seks yang ditemui di mana-mana, yang mungkin belum sempat membeli perlindungan ketika didatangi pasangan atau pelanggannya.
"Kondom ini untuk apa?"
"Untuk kebutuhan siapa-siapa yang butuh kondom ini pada saatnya,"
"Kamu sudah menikah?"
"Belum,"
"Ada pasangan di sini?"
"Tidak,"
"Hmm.."
"Saya ramai teman di sini,"
"Iya? Nanti ketemu sama teman?"
"Iya,"
"Apa nama hotelmu?"
"Bukan hotel, pak. Rumah yang sudah disiapkan teman. Di Jalan Janti, tidak jauh dari bandara,"
"Oke, kamu tunggu di sini,"
Aku tunggu tidak beberapa saat. Aku disuruh seorang pegawai imigrasi perempuan untuk ke sebuah kamar pemeriksaan. Sekali lagi, tidak ada apa-apa alasan yang diberikan. Sebelum memasuki kamar, aku disuruh menanggalkan kasut. Aku mula merasa kurang enak tapi aku pernah disuruh tanggalkan kasut di pintu pemeriksaan sebelum ini, jadi aku turutkan saja. Kemudian aku disuruh ke kamar pemeriksaan. Pegawai yang memeriksa itu perempuan, dan dia juga pegawai yang menerima slip deklarasi barangan aku tadinya. Aku fikir dia hanya akan meraba tubuhku dari luar baju untuk barang-barang terlarang, kerna itu aku turutkan untuk ke kamar itu. Aku disuruh berdiri di hadapan sebuah cermin panjang, aku tidak tahu kalau itu cermin dua hala atau bukan. Aku diminta untuk membelakangi cermin, dan melepaskan semua pakaian satu per satu. Aku tidak panik sehingga aku diminta untuk melepaskan bra dan seluar dalam, kerana hingga saat itu, segalanya berlalu dengan terlalu cepat untuk aku memahami apa yang sedang berlaku. Ketika sudah melepaskan baju dan seluar, aku sudah terlalu kaku untuk berbuat apa-apa lagi. Ketika ini, segala kekuatan aku untuk melawan sudah pergi dari jiwaku, dan aku hanya mahukan segalanya untuk berakhir. Aku lepaskan bra dan pegawai itu memeriksa bra-ku, dan dengan perasaan yang sangat berat aku melepaskan seluar dalam juga. Aku berasa sangat malu dan hilang harga diri. Hatiku perih mengingatkan betapa kakunya aku yang tidak bisa melawan ketika aku telanjang habis di hadapan seorang sosok autoriti yang punya kuasa penuh ke atasku pada ketika itu. Fikiranku kosong, jantungku terasa bagai nak pecah. Seterusnya aku hanya menurutkan segala arahan, aku disuruh tonggeng membelakangi cermin dan kemaluanku diperiksa secara fizikal untuk sebarang narkoba. Ternyata semua itu sia-sia kerana aku tidak bersalah. Once cleared, aku terus memakai pakaianku semula dan membereskan bagasi dengan cepat. Aku mahu keluar dari situ, dan aku mahu keluar dari bandara. Sehingga saat aku pergi, tiada satu pun pegawai imigrasi yang memberikan apa-apa alasan kenapa aku diperlakukan sebegitu. Apatah lagi sebarang bentuk permintaan maaf atas pemeriksaan yang melanggar harga diri seorang manusia. Yang diucapkan hanya "terima kasih atas kerjasamanya, mba." Aku tidak membalas ucapan terima kasih itu, kerana merasa sakit diperlakukan sesuka hati tanpa alasan.
Habis itu, fikiranku hanya untuk ke rumah dan beristirehat. Aku menghantar mesej ke beberapa teman bahawa aku diperiksa imigrasi di bandara. Tapi aku tidak menceritakan secara detail kepada siapa-siapa sehingga lewat malamnya ketika lepak (nongkrong) dengan teman-teman di tengah kota Jogja, menunggu tahun baru. Mereka marah sekali, sangat marah, ketika mendengar langsung dari aku. Sepanjang keberadaan aku di Jogja yang lumayan lama, aku hanya boleh menghubungi teman-temanku yang bekerja di NGO tempatan. Sekarang dalam proses menghantar kes ini ke komnas HAM dan komnas perempuan yang berpusat di Jakarta, dan pastinya akan aku laporkan ke organisasi hak asasi manusia di Kuala Lumpur juga.
Pada zaman teknologi membolehkan jarak geografi antara negara itu sangat dekat, malangnya menjadikan jarak kemanusiaan kita semakin jauh. Ketika kotak dunia itu semakin meluas, kotak pemikiran malah semakin mengecil, dan ini perkara yang sangat tragis saat kita mengaku menjadi umat paling tercerah daripada umat manusia sebelumnya. Perkongsian ini tidak sama sekali berniat untuk memalukan siapa-siapa, hanya untuk refleksi masyarakat tentang bagaimana kita melayani orang lain saat kita memegang kuasa. Ini juga kisah untuk masyarakat memahami betapa pentingnya untuk kita bersimpati pada mangsa yang tidak berupaya melawan ketika mereka ditimpa penindasan. Kadang-kala mereka melalui situasi yang tidak kita fahami, dan kisah mereka sentiasa absah walau bila pun mereka mula bersuara, agar penindasan yang sama tidak berlaku lagi di lain watak dan waktu.
Ulang siar entri Wanita Kongsi Pengalaman Buruk Ketika Diperiksa Keselamatan Di Lapangan Terbang Adisucipto. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment