Tak Pernah Sekolah Sejak Kecil, Macam Drama Dah Kisah Keluarga Ini - Luahan Cikgu.

 On Thursday, March 8, 2018  

Tak Pernah Sekolah Sejak Kecil, Macam Drama Dah Kisah Keluarga Ini - Luahan Cikgu.

Tak Pernah Sekolah Sejak Kecil, Macam Drama Dah Kisah Keluarga Ini - Luahan Cikgu.

Oleh : Mohd Fadli Salleh

Kisah ini bermula akhir tahun lepas. Seorang budak menceroboh sekolah aku untuk merasai bagaimana suasana belajar di sekolah.

Umurnya baru 9 tahun tika itu. Dia dan abangnya yang berumur 10 tahun tak pernah merasai suasana persekolahan.

Maka dia nekad, dengan baju terpakai yang diberi jiran-jiran, dia ikut kawan ke sekolah tanpa pengetahuan ayah dan ibu. Bila pihak sekolah tahu, terpaksa panggil polis supaya dia tunjuk rumahnya.

Disitu bermulanya aku kenal keluarga Khairul ini.




Lawatan kali pertama, terus aku bawa barang dapur untuk mereka. Duduk berborak dan mendengar kisah keluarga ini. Kisah yang rumit!

Dua anak mereka tidak punya surat beranak. Si ayah orang Kedah, kahwin dengan Indon di rumah kongsi sahaja. Surat nikah pun palsu, surat nikah dari Thailand.

Anak sulung dilahirkan di rumah kongsi sahaja. Disambut oleh bidan Indon juga. Tidak pernah ke hospital, maka tidak pernah ada rekod.

Si ayah dan ibu keduanya buta huruf. Makin merumitkan keadaan. Anak kedua pun sama. Lahir di rumah kongsi disambut bidan sama.

Kelahiran mereka tidak pernah didaftarkan.

Suatu hari, rumah mereka terbakar. Passport si ibu turut hangus sama. Maka mereka pulang ke Kedah dan mencari kehidupan di sana pula.

Ayahnya jadi jaga di sebuah kilang buat zink di Penang. Lari ke Kuala Lumpur sehelai sepinggang selepas pihak kilang buat report besi buruk hilang. Naik motor berlima dari Penang ke Kuala Lumpur. Ayah dia lepaskan kawan sendiri masuk curi besi dikilang itu.

Macam dalam drama dah kisah keluarga ini.

Aku menulis kisah ini tahun lepas dan menjadi tular. Ada hamba Allah dari Klang yang baik hati tawarkan diri untuk bantu semua penyediaan dokumen agar mereka sah sebagai warganegara dan boleh bersekolah seperti kanak-kanak sebaya yang lain. Kak Shida dan Abang Roslan yang baik hati.

Setiap bulan, aku bantu dari segi barang dapur dan sedikit bantuan kewangan. Kak Sharifah dari Akedemi i-Sina pula tawarkan Kelas Rakyat percuma untuk anak-anak ini.

Kak Norma dari JPNWP pula bagi nasihat bagaimana nak daftarkan mereka secara sah.

Prosedur sangat rumit memandangkan bidan yang sambut kelahiran telah mati. Rumah kongsi dulu pun sudah tiada. Entah ke mana semua jiran-jiran warga Indon yang jadi saksi kelahiran Madi dan Khairul.

Namun aku tidak putus asa. Dengan bantuan Kak Shida dan Abang Roslan, kami sepakat nak bantu sampai selesai.

Proses pertama sahkan surat nikah. Dua kali jemput mereka dan bawa ke mahkamah syariah. Akhirnya hakim putuskan, perkahwinan lama tak sah.

Diminta tinggal berasingan selama 3 bulan dan akad nikah semula. Surat nikah yang dah akan dikeluarkan dan anak-anak boleh di bin kan dengan nama ayah mereka. Alhamdulillah, satu cabaran selesai.


Cabaran paling besar untuk urus surat beranak anak-anak mereka. Kak Norma dan team dari Jabatan Pendaftaran Negara Wilayah Persekutuan sendiri turun jumpa mereka bersama aku. Terang satu demi satu prosedur yang sangat rumit untuk kes yang sangat kompleks ini.

Disitu bermula satu perjalanan yang sangat sukar. Yang tak pernah aku cerita pada kalian.

Dapatkan cop pesuruhjaya sumpah, buat report polis dan isi segala macam dokumen dan hantar.

Masa ini, si ayah kena tangkap polis. kes dia di Penang dapat dihidu dan dia dikenal pasti. Kena penjara enam bulan untuk kes ini.

Si ibu bersama tiga anak terkapai-kapai tanpa suami. Ibu tanpa apa-apa dokumen, anak-anak pun sama. Tuan rumah pula halau mereka kerana anak-anak mereka sangat nakal. Lagi pun merela tinggal percuma di rumah itu dengan ehsan.

Rumah itu pula dah jadi rebutan anak-anak pula. Hendak tak hendak kena keluar.

Aku bantu cari rumah, bantu bayar sewa dan minta si ibu cari kerja.

Menyewa di rumah lain baru sebulan, dihalau lagi kerana anak-anak sangat nakal. Cat kereta orang, curi basikal orang dan bergaduh dengan tuan rumah.

Pindah lagi. Aku bantu lagi.

Madi pula hilang seminggu. Sasau lagi aku mencari. Alhamdulillah jumpa.

Semalam si ibu telefon pula. Anaknya sangat tidal terkawal. Keluar rumah tanpa boleh disekat, lagipun dia bekerja.

Curi telefon Myanmar, curi basikal Bangla, basikal jiran dan bermacam angkara walau usia baru 10 tahun.

Aku telefon dan bercakap dengan Khairul. Suruh dia jaga diri elok-elok, jaga perangai dan tidak lagi buat angkara.

Ibunya suruh aku masukkan anaknya ke sekolah tahfiz. Mereka pun nak sangat sekolah. Tapi aku terpaksa hold dulu.

Minggu depan, mereka kena ke JPN untuk interview. Tarikh yang dah ditetapkan sejak dua bulan lepas.

Kena hadir semua sekali dan saksi dari Nibong Tebal. Mak saudara dan bapa saudara budak-budak ini.

Mak saudara dan bapa saudara mereka sudah berusia. Orang kampung yang dah tak berapa sihat. Kewangan pun sangat lemah.

Mereka setuju hadir jika perbelanjaan duit minyak, tol, tempat tinggal dan makan minum ditanggung sepenuhnya. Aku sanggup dan beri jaminan semua itu akan ditanggung.

Interview 13 Mac depan. Sehingga tarikh ini aku berdoa anak-anak ini baik-baik saja. Sebab tu aku tak masukkan ke sekolah tahfiz atau lapor pada JKM.

Nanti proses panjang yang merumitkan, yang dah lama aku, Abang Roslan dan Kak Shida urus akan terganggu.

Aku nak anak-anak ini dapat hak mereka. Surat beranak dan dapat bersekolah semula.

Si ibu, sejak hampir 20 tahun lepas tinggalkan kampung halaman, langsung tidak berhubung dengan keluarga di sana. Alamat pun lupa, nombor telefon pun tak ingat.

Satu lagi masalah rumit nak selesaikan dokumen si ibu. Aku dengan bantuan Abang Roslan dan Kak Shida dah bawa mereka ke kedutaan.

Namun si ibu bagai makhluk asing. Tiada KTP(ic), tak tahu alamat dan tiada nombor telefon keluarga di sana. Kat sini pun tak pernah jumpa orang kampung dia. Tak ada saudara mahu pun adik-beradik.

Sangat sukar. Allahu.

Namun kami tidak berputus asa. Tadi baru Abang Roslan maklumkan pada aku, dah dapat hubungi keluarga si ibu di Indonesia sana untuk kirimkan KTP dia. Entah dari mana sumber Abang Roslan dapat, aku pun tak tahu.

Nanti dokumen si ibu pun aku nak settlekan secara sah. Itu pasti satu proses yang panjang juga.

Fokus utama sekarang ialah surat beranak anak-anak ini. Ini paling utama dan paling sukar sekali.

Walau tidak pernah ceritakan sebelum ini, aku dengan bantuan Abang Roslan dan Kak Shida sentiasa bergerak untuk urus semua ini.

Sejak tahun lepas tanpa henti!

Kau orang tolong doakanlah agar urusan aku dan keluarga ini dipermudahkan.

Anak-anak mereka semakin liar tanpa ada si ayah. Proses yang penting bakal menjelma.

Esok kalau sempat aku pergi ziarah mereka. Nak nasihat kat Khairul dan Madi sikit agar jangan buat hal lagi.

Jangan ditambah masalah yang sudah bertimbun-timbun ini.

Cukuplah dulu cerita aku pasal keluarga Khairul. Kalau diikutkan, banyak lagi aku nak tulis. Khairul yang lari naik bas pergi entah ke mana hingga polis hantar, kidah Madi yang hilang seminggu, kisah basikal lajak, kena pau, kena curi balik dan sebagainya.

Cukuplah dahulu. Cukuplah kau orang tahu bahawa #DanaKITA sentiasa membantu keluarga ini walau aku tidak update kisah mereka.

Semoga Allah merahmati usaha kecil kita semua ini. Amin.

Ulang siar entri Tak Pernah Sekolah Sejak Kecil, Macam Drama Dah Kisah Keluarga Ini - Luahan Cikgu. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
Tak Pernah Sekolah Sejak Kecil, Macam Drama Dah Kisah Keluarga Ini - Luahan Cikgu. 4.5 5 Unknown Thursday, March 8, 2018 Tak Pernah Sekolah Sejak Kecil, Macam Drama Dah Kisah Keluarga Ini - Luahan Cikgu. Oleh : Mohd Fadli Salleh Kisah ini bermula akhir t...


No comments:

Post a Comment