UK Keluar Dari Kesatuan Eropah - Satu Analisa Oleh Rafizi Ramli.
UK KELUAR DARI EU: APA KESAN KEPADA KITA?
Ada yang bertanya apa kesan keputusan referendum UK keluar dari EU. Komen-komen rasmi sudah tentu dikeluarkan oleh Najib Razak dan menteri-menteri seperti ekonomi kita kukuh, tidak terjejas dan lain-lain. Saya tidak perlu komen yang itu.
Saya senaraikan kesan dan risiko keputusan UK keluar dari EU yang mungkin tidak diulas di media perdana:
RISIKO EKONOMI GLOBAL GAWAT
1) Pound sterling dan pasaran saham London merudum dan menunjukkan prestasi terburuk dalam 4 dekad. London adalah pusat kewangan dunia dan ada pengaruh besar kepada pasaran saham lain.
2) Pada masa yang sama, UK adalah ekonomi kedua terbesar di dalam blok Eropah yang merupakan blok ekonomi terkaya di dunia. Keluarnya UK memberi ketidaktentuan sama ada blok Eropah akan runtuh, apatah lagi dengan masalah hutang Greece, kelembapan ekonomi berpanjangan, pengangguran di Sepanyol dan kebanjiran pelarian Asia Tengah.
3) Kedua-dua faktor ini memberikan risiko kepada kestabilan ekonomi global kerana blok Eropah banyak berdagang dengan seluruh dunia.
4) Jika pasaran memberi reaksi bahawa ketidaktentuan itu satu risiko besar, ada kemungkinan kejatuhan saham di London akan berjangkit kepada pasaran saham lain di dunia. Jika ini berlaku, ia boleh mencetuskan kegawatan ekonomi dunia. Malaysia akan terkesan teruk kerana kita bergantung kepada eksport.
5) Prestasi pasaran saham bila dibuka pada hari Isnin akan memberi bayangan sama ada keputusan keluar EU itu akan mencetuskan jangkitan panik yang merudumkan pasaran lain juga. Jika itu tidak berlaku, risiko kepada ekonomi Malaysia mungkin lebih rendah.
KEJATUHAN MATAWANG STERLING
1) Matawang sterling dijangka akan menjadi lebih rendah. Ini membawa kesan yang pelbagai kepada pelbagai kumpulan bergantung kepada jenis pendedahan kewangan.
2) Pendidikan tinggi di UK sepatutnya menjadi lebih murah kerana kadar tukaran murah. Namun ia bergantung juga kepada kos perniagaan baru selepas UK berada di luar Eropah. Jika kos perniagaan meningkat dan yuran dinaikkan, maka penjimatan dari kadar tukaran yang lebih rendah boleh dimansuhkan oleh yuran yang lebih tinggi. Terlalu awal untuk dinyatakan.
3) Institusi pelaburan awam seperti KWSP, Tabung Haji, Felda dan lain-lain yang membeli hartanah mewah di London akan menyaksikan kerugian pada mulanya kerana nilai hartanah yang dibeli pada kadar yang lebih tinggi kini perlu diterjemahkan pada kadar yang rendah. Maka satu kerugian atas kertas akan dicatatkan. Walau bagaimana pun, kejatuhan sterling akan membuatkan harga hartanah UK tiba-tiba menjadi lebih rendah lalu lebih ramai pelabur asing mahu membeli hartanah yang mungkin akan menaikkan harga. Sekiranya ini berlaku, hartanah sedia ada bila dinilai kembali mungkin harganya lebih tinggi dan keuntungan atas kertas yang dicatatkan akan ditolak dari kerugian atas kertas sekarang.
Banyak lagi kesan lain tetapi saya rasa untuk rakyat biasa seperti saudara dan saya, ini antara kesan paling ketara yang melibatkan kita.
Cuma saya ajak kita ambil iktibar dari analisa undi mengikut umur seperti yang saya sertakan:
i - Majoriti orang muda mahu UK kekal di dalam EU. Lagi muda, lagi mereka mahu UK kekal dalam EU. Dibawah 24 tahun 73%, di bawah 62% 62% dan lain-lain.
ii - Mereka mahu UK kekal kerana mereka yang paling terbeban dengan keadaan ekonomi semasa dan mereka tidak mampu melalui satu kacau bilau ekonomi. Mereka juga faham keadaan ekonomi yang saling berkait dalam era globalisasi.
iii - Malangnya mereka dikalahkan oleh pengundi lebih tua yang sebenarnya menanggung risiko bagi tempoh masa yang lebih pendek kerana usia yang lebih lanjut. Jika pengundi itu berusia 55 tahun, pada jangka hayat purata 70 tahun, jika ada kejutan ekonomi pun pengundi itu hanya menanggung kesannya selama 15 tahun berbanding orang muda berusia 25 tahun yang akan menanggungnya selama 45 tahun.
iv - Maka orang muda diwariskan bukan sahaja dengan keadaan ekonomi yang lebih buruk berbanding dulu tetapi juga mereka perlu hidup dengan keputusan yang membebankan mereka yang dipaksakan ke atas mereka oleh generasi yang lebih tua.
Kenapa berlaku begitu?
Kerana di referendum semalam jumlah orang muda yang keluar mengundi adalah rendah berbanding orang tua. Walaupun mereka mahu kekal dalm EU dan kadar sokongan itu tinggi, orang tua yang lebih ramai keluar akhirnya menentukan.
Nasi sudah menjadi bubur bagi anak-anak muda UK.
Saya harap nasi tidak akan menjadi bubur bagi anak-anak muda Malaysia jika mereka hadam fenomena yang berlaku di UK itu.
Mohon sebarkan analisa ini!
Ulang siar entri UK Keluar Dari Kesatuan Eropah - Satu Analisa Oleh Rafizi Ramli. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada PASTA DotMy iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment