Apa Kaitan Hukuman Merejam Dengan Yahudi? - Baca Ini.
[4] WACANA TENTANG HUKUM REJAM
Jika kita perhatikan kepada nas-nas yang cerita tentang rejam, ia tidak ada satu pun termaktub dalam al-Quran. Nas-nas tentang rejam, semuanya termaktub dalam hadis. Antara nas-nas tersebut adalah seperti berikut;
Pertama :
Nabi SAW menyatakan supaya kita perlu ambil dari apa yang diajar oleh Nabi SAW, iaitu dikenakan hukuman sebat seratus rotan bagi orang yang belum berkahwin, sedangkan rejam bagi mereka yang sudah berkahwin. (sahih muslim, hadis no : 3199, Ibn majah, hadis no : 2540, musnad ahmad, hadis no : 15345)
خُذُوا عَنِّي خُذُوا عَنِّي قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًا الْبِكْرُ بِالْبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ وَنَفْيُ سَنَةٍ وَالثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ جَلْدُ مِائَةٍ وَالرَّجْمُ
Kedua :
Dalam hadis dari Musawir bin Abdillah bahawa dia bertanya Abu Barzah, apakah Rasulullah SAW pernah merejam. Dia menjawab Rasulullah SAW merejam seorang lelaki bernama Maiz bin Malik. (musnad ahmad, hadis no : 18960)
عَنْ مُسَاوِرِ بْنِ عُبَيْدٍ قَالَ أَتَيْتُ أَبَا بَرْزَةَ فَقُلْتُ هَلْ رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ نَعَمْ رَجُلًا مِنَّا يُقَالُ لَهُ مَاعِزُ بْنُ مَالِكٍ
Ketiga :
Umar bin al-Khattab juga pernah berkata tentang hukuman rejam kepada penzina yang berkahwin. Ia bukan sekadar dilakukan oleh Rasulullah SAW, malahan dilakukan oleh Umar sendiri. (Sunan Ibn Majah, hadis no : 2543, musnad ahmad, hadis no : 20261)
الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ
Keempat :
Seorang lelaki bernama al-Syaibani bertanya kepada Abdullah bin Abi Awfa tentang pernahkah Rasulullah SAW merejam. Dia menjawab bahawa Nabi SAW pernah merejam. Lalu al-Syaibani bertanya lagi, apakah sebelum atau selepas turunnya surah al-Nur yang menceritakan hukuman zina adalah sebat seratus rotan. Lalu, Abdullah itu menjawab bahawa dia tidak tahu. (al-Bukhari, hadis no : 6335, muslim, hadis no : 3214)
عَنْ الشَّيْبَانِيِّ سَأَلْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى هَلْ رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ قَبْلَ سُورَةِ النُّورِ أَمْ بَعْدُ قَالَ لَا أَدْرِي
Kalau dalam riwayat ahmad pula, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW merejam lelaki yahudi dan perempuan yahudi yang berzina. (musnad ahmad, hadis no : 18338)
الشَّيْبَانِيُّ أَخْبَرَنِي قَالَ قُلْتُ لِابْنِ أَبِي أَوْفَى رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ يَهُودِيًّا وَيَهُودِيَّةً قَالَ قُلْتُ بَعْدَ نُزُولِ النُّورِ أَوْ قَبْلَهَا قَالَ لَا أَدْرِي
KUPASAN
Jika kita lihat dalam al-Quran, tidak terdapat satu pun ayat yang menyatakan hukuman bunuh kepada penzina. Hukuman tersebut sekadar sebat seratus rotan sepertimana dalam surah al-Nur, ayat 2:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ
Namun begitu, yang wujud dalam al-Quran adalah penjagaan nyawa manusia. Dalam al-Quran, bunuh hanya disebut dalam dua kesalahan sahaja, iaitu muharabah dan qisas. Namun, apabila kita merujuk pula kepada hadis-hadis, didapati bahawa terdapat pengamalan rejam bagi penzina yang mohsan.
Perlu kita sedari, Sesungguhnya hukuman bunuh merupakan hukuman yang cukup berat. Penilaiannya berat itu boleh diterima akal dan fitrah manusia. Makanya, dalam perkara yang begitu penting, masakan tidak termaktub dalam al-Quran yang bersifat mutawatir, tetapi sekadar riwayat yang bersifat ahad?
Ekoran itu, Imam Abu Zuhrah ada mengupas bahawa hukum rejam kepada orang mati bukan hukuman hudud, tetapi merupakan pensyariatan kaum terdahulu (syar' man Qablana) yang dimansukhkan dengan ayat sebat seratus rotan berdasarkan ayat 2 dari surah al-Nur[1].
Alasan menunjukkan bahawa ia adalah amalan kaum terdahulu adalah merujuk kepada beberapa hujah berikut:
1- Sifat syariat untuk yahudi itu sendiri bersifat keras, seperti bertaubat dengan cara bunuh diri. Sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 54, “Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, sesungguhnya kamu telah menganiaya dirimu sendiri karena kamu telah menjadikan anak lembu (sembahanmu), maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Hal itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu; maka Allah akan menerima taubatmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”
وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنْفُسَكُمْ بِاتِّخَاذِكُمُ الْعِجْلَ فَتُوبُوا إِلَى بَارِئِكُمْ فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
2- Hadis kisah Abdullah bin Salam yang telah membangkang keputusan yang dibuat oleh ilmuan yahudi yang tidak melakukan hukuman rejam terhadap dua orang yahudi; lelaki dan perempuan yang berzina. Lalu, dalam kejadian tersebut, ilmuan yahudi itu diminta hadir kepada Nabi SAW untuk membawa kitab rujukan mereka supaya dibaca dihadapan Nabi SAW. Apabila dibaca, didapati hukuman yang termaktub dalam taurat tentang kesalahan zina adalah rejam sehingga mati. (al-Bukhari, hadis no : 3363, Muslim, hadis no : 3211, Sunan Abu Daud, hadis no : 3142, Ibn Majah, hadis no : 2548, Musnad ahmad, hadis no : 17794)
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ الْيَهُودَ جَاءُوا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرُوا لَهُ أَنَّ رَجُلًا مِنْهُمْ وَامْرَأَةً زَنَيَا فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَجِدُونَ فِي التَّوْرَاةِ فِي شَأْنِ الرَّجْمِ فَقَالُوا نَفْضَحُهُمْ وَيُجْلَدُونَ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ كَذَبْتُمْ إِنَّ فِيهَا الرَّجْمَ فَأَتَوْا بِالتَّوْرَاةِ فَنَشَرُوهَا فَوَضَعَ أَحَدُهُمْ يَدَهُ عَلَى آيَةِ الرَّجْمِ فَقَرَأَ مَا قَبْلَهَا وَمَا بَعْدَهَا فَقَالَ لَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ ارْفَعْ يَدَكَ فَرَفَعَ يَدَهُ فَإِذَا فِيهَا آيَةُ الرَّجْمِ فَقَالُوا صَدَقَ يَا مُحَمَّدُ فِيهَا آيَةُ الرَّجْمِ فَأَمَرَ بِهِمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرُجِمَا قَالَ عَبْدُ اللَّهِ فَرَأَيْتُ الرَّجُلَ يَجْنَأُ عَلَى الْمَرْأَةِ يَقِيهَا الْحِجَارَةَ
Melihat kepada perkara ini, kita akan dapati bahawa mengikut syariat terdahulu, khususnya taurat, hukuman bagi penzina dengan rejam merupakan syariat yang diamalkan dalam syariat yahudi. Makanya, tidak ditolak kemungkinan bahawa beberapa hadis yang menyatakan bahawa berlaku rejam kepada penzina yang dilakukan oleh Rasulullah SAW itu sebenarnya merujuk kepada keadaan di awal Islam.
Lalu, ia dimansukhkan dengan firman Allah dari surah al-Nur, ayat ke-2 yang menyatakan bahawa hukuman penzina adalah dengan sebat seratus rotan sahaja. Ia lebih dilihat amat sesuai dengan syariat nabi Muhammad SAW yang bersifat hanifiyyah dan toleransi atau samhah. (Musnad Ahmad, hadis no : 21260)
بُعِثْتُ بِالْحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ
Ia dikuatkan lagi, dengan hadis al-Syaibani yang bertanya kepada Abdullah bin Abi Awfa yang mengakui bahawa Rasulullah SAW pernah melakukan rejam kepada penzina. Tetapi, bila ditanya oleh al-Syaibani, apakah tindakan itu dilakukan sebelum penurunan surah al-Nur ataupun selepas. Dijawab oleh Abdullah bin Abi Awfa dengan jawapan, “aku tidak tahu” (al-Bukhari, hadis no : 6335, muslim, hadis no : 3214)
عَنْ الشَّيْبَانِيِّ سَأَلْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى هَلْ رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ قَبْلَ سُورَةِ النُّورِ أَمْ بَعْدُ قَالَ لَا أَدْرِي
Ini dilihat pada hadis riwayat al-bukhari, yang tidak dinyatakan siapa yang direjam oleh Rasulullah SAW tersebut. Tetapi, jika dilihat pada matan hadis dalam riwayat imam Ahmad pula, dinyatakan dan disebut bahawa orang yang direjam oleh Rasulullah SAW itu adalah yahudi yang berzina. (musnad ahmad, hadis no : 18338)
الشَّيْبَانِيُّ أَخْبَرَنِي قَالَ قُلْتُ لِابْنِ أَبِي أَوْفَى رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ يَهُودِيًّا وَيَهُودِيَّةً قَالَ قُلْتُ بَعْدَ نُزُولِ النُّورِ أَوْ قَبْلَهَا قَالَ لَا أَدْرِي
AMALAN SAHABAT PULA?
Jika kita melihat kepada amalan para sahabat pula, kita akan dapati ada satu hadis menyatakan bahawa hukuman rejam ini dilakukan oleh Umar bin al-Khattab. (Sunan Ibn Majah, hadis no : 2543, musnad ahmad, hadis no : 20261)
الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ
Sesuatu athar atau pengalaman sahabat, ia tidak boleh dibuang terus, sebaliknya perlu dita'wilkan maksudnya apabila didapati menyanggahi dengan umum al-Quran. Memandangkan Nabi SAW dan para sahabat seperti Umar dan Ali adalah pemimpin kerajaan, hendaklah tindakan mereka mengamalkan hukuman ini dinilai sebagai takzir, bukan hudud. Makanya, tindakan mereka itu tertakluk dibawah maksud pengurusan pemerintah berdasarkan kepada kemaslahatan rakyat.
تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
KESIMPULAN
Mendakwa bahawa hukuman rejam ini dibawah hudud agak ganjil jika dilihat dari susunan peri-penting mengikut susunan dalam hal maqasid. Ini kerana, mengikut susunan, menjaga nyawa itu lebih didahulukan berbanding menjaga maruah. (al-Amidi, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, jld 3, hlmn 158)
Berzina adalah perkara yang berkaitan dengan penjagaan bagi maruah, sedangkan rejam itu sendiri melibatkan kepada penjagaan nyawa. Jika didakwa dalam syariat muhammad bahawa ada hukum rejam, maka ia seperti menyalahi dengan susunan ini.
Tidak dinafikan, hukum rejam sememangnya wujud dalam nas hadis atas nama takzir, makanya terpulang kepada pihak pemerintah melaksanakan hukuman tersebut. Namun begitu, sesuatu perlaksanaan pastikan tidak menafikan maqasid ammah. Antaranya, tidak mendatangkan mafsadah lagi besar dan jangka panjang, seperti imej islam yang bakal dilihat seperti ganas dan seumpamanya.
Ulang siar entri Apa Kaitan Hukuman Merejam Dengan Yahudi? - Baca Ini. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Nurul Asyikin iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment