Khairul Anak Murid PASTI Yang Berjaya Hingga Ke Argentina.
DARI PASTI KE ARGENTINA
Tatkala mendapat berita seorang anak muda tanah melayu mengharumkan nama negara di litar moto3 Argentina, tentunya kita sebagai rakyat berkongsi kegembiraan. Bukan mudah anak melayu untuk bersaing dengan bangsa lain di peringkat antarabangsa.
Namun yang lebih mengujakan bagi saya ialah saat beliau lari dari podium ketika pelumba-pelumba lain meraikan dengan semburan arak. Hampir menitis airmata kebanggaan.
Anak muda ini bukan sahaja mengharumkan nama negara, tetapi nama Islam juga. Umurnya belum mencecah 18 tahun, tetapi sudah tahu halal haram melebihi kebanyakan orang dewasa.
Tentu sekali reaksi spontan beliau adalah hasil didikan yang diatur oleh ibubapanya sejak kecil. Tanpa ilmu agama, masakan beliau sanggup lari dari pentas juara itu disaat sedang kegirangan meraikan kemenangan dengan disaksikan seluruh dunia.
Ibubapa Khairul Idham Pawi sedar kepentingan agama untuk anaknya. Dari kecil lagi, mereka telah menyediakan ilmu agama buat cahaya mata yang dikasihi. Tahukah anda, rupa-rupanya anak muda ini adalah lepasan pelajar PASTI Nurul Iman di Kg Gajah, Perak. Bukan sahaja dia, malah adiknya yang juga pelumba cubprix profesional juga dihantar ke PASTI.
Sebut sahaja PASTI, semua orang tahu inilah antara pusat asuhan kanak-kanak berasaskan Islam paling lama bertapak di Malaysia. Ianya milik parti PAS. Di PASTI, sebelum mumayyiz lagi pelajar sudah diajar kenal tuhan. Mereka sudah dibiasakan dengan al-Quran, dipenuhi dengan hafalan hadis-hadis dan doa serta dididik dengan halal haram yang asas. Maka tidak mustahil reaksi Khairul Idham itu adalah hasil didikan yang diperolehi semenjak PASTI dahulu.
PASTI menjadi bukti, PAS bukan sekadar parti yang memperjuangkan politik. PAS hakikatnya adalah gerakan Islam, yang meletakkan perjuangannya di atas tiga paksi utama iaitu tarbiyah, dakwah dan politik. Cuma nama sahaja 'parti' kerana berdaftar untuk membolehkan gerakan ini memasuki pilihanraya.
Kalaulah matlamat PAS sekadar berpolitik, mustahil ahli PAS sanggup berhabis jutaan ringgit membangunkan PASTI yang wujud di seluruh Malaysia. Apa yang boleh anak 6 tahun ke bawah sumbangkan kepada PAS dalam pilihanraya? Mereka hanya boleh mengundi 15 tahun akan datang. PAS tidak pernah buat akujanji kepada pelajar Pasti, untuk wajib undi PAS apabila mencapai umur 21 nanti.
Yang PASTI berikan kepada mereka hanyalah ilmu agama. Ini kerana PAS juga adalah parti tarbiah dan dakwah. Walaupun merugikan politik, PAS tetap lakukan. Seandainya politik saja yanh dofikir, baik PAS gunakan duit tersebut untuk biayai deposit untuk bertanding di setiap kerusi Parlimen dan Dun.
Alhamdulillah, dengan ketulusan PASTI memdidik manusia mengenal ajaran tuhan, pelajar PASTI kini tidak hanya terdiri dari kalangan anak ahli PAS, malah orang Umno, atas pagar, bukan melayu, bukan Islam serta orang-orang asli di pedalaman hutan turut menghantar anak mereka menerima tarbiah dari PAS.
Walaupun bukan 100% lepasan PASTI berjaya, namun dengan berkat kesungguhan mendidik anak-anak ini, ada alumni PASTI yang sudah bergelar doktor, engineer, peguam, jutawan, atlet, wakil rakyat dan sebagainya. Ini menjadi bukti pusat pendidikan tidak diiktiraf kerajaan juga boleh berjaya.
PASTI diasaskan atas kesedaran dakwah, bukan untuk perniagaan dan mencari untung. Segala pujian saya terhadap PASTI ini tidak dijanjikan sesen pun habuan. Sebaliknya pula, PASTI sentiasa merayu sumbangan untuk menampung kos penubuhan satu demi satu PASTI yang tumbuh merata tempat dek permintaan yang tinggi. Juga untuk meningkatkan taraf PASTI yang telah sedia ada bagi memenuhi kehendak semasa.
Inilah PASTI. Inilah PAS. Maka beruntunglah mereka yang pernah menyumbang untuk perjuangan PAS. Jika benar tercatit di sisi tuhan bahawa apa yang dilakukan oleh Khairul Idham adalah hasil didikan PASTI, semua yang terlibat membantu PAS dan PASTI akan beroleh saham yang sama di akhirat insyaAllah.
Dengan bangganya saya ingin katakan, saya ahli PAS, bekas pelajar PASTI dan kini memilih PASTI untuk anak. Anda pula?
Kepada Khairul Idham Pawi, semoga anda kekal istiqamah mempertahankan jati diri Islam. Anda kini bukan hanya ikon kebanggaan anak muda negara, malah anda juga lambang kebanggaan umat Islam sedunia yang cintakan syariat tuhan.
(Alang Ibn Shukrimun)
Ulang siar entri Khairul Anak Murid PASTI Yang Berjaya Hingga Ke Argentina. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada PASTA DotMy iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment