Wartawan Bertanya Apakah Perniagaan Adam, Adam Menjawab, Ianya Rahsia Kerana Bahaya Kepada Perniagaan Jika Diviralkan.
Sidang media Ketua Pemuda PKR (AMK) Datuk Adam Rosly Abdullah hari ini menimbulkan lebih banyak persoalan apabila beliau tidak menjawab beberapa soalan yang diajukan.
Ketika ditanya pemberita apakah perniagaan yang dijalankan, Adam enggan mengulasnya dan memberitahu bahawa ia perkara peribadi.
Bagaimanapun, Adam berkata beliau akan bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya siasatan terhadapnya dijalankan.
"Ia isu peribadi. Saya rasa tak perlu jelaskan pada media apa perniagaan saya dan di mana saya lakukan, kerana ini peribadi dan bila ia diviralkan ini bahaya untuk perniagaan saya.
"(Tetapi) saya beri jaminan kerjasama baik pada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasat dan bertanya sebarang soalan dan saya akan nyatakan segala dokumen mengenai perniagaan saya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ampang, hari ini
Ditanya sama ada benar beliau menjalankan perniagaan eksport perabot, Adam hanya menjawab:
"Biar saya jawab dengan pihak tertentu sahaja".
Selain itu, ditanya sama ada beliau bersedia untuk mengisytiharkan harta seperti dicadangkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Adam berkata beliau tiada keperluan berbuat demikian dan menyerahkan perkara tersebut kepada parti.
"Saya setuju dengan cadangan itu tetapi apa keperluan saya untuk isytihar harta saya?
“Saya bukan penjawat awam tetapi kalau ia arahan parti dan ia dapat puaskan hati semua pihak, saya sedia isytihar harta tanpa tinggalkan sesen pun," katanya.
Ketika diajukan soalan sama ada kekayaannya berkiatan dengan dakwaan dirinya menjadi proksi kepada Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali, Adam menafikan perkara itu.
Malah, Adam memberitahu beliau mengecapi kekayaan sebelum terlibat dalam dunia politik lagi.
"Mengapa perlu kaitkan Azmin? Kenapa setiap perkara berlaku di Selangor dikaitkan Azmin dan (ketua wanita PKR) Zuraida (Kamaruddin).
"Kalau betul saya proksi Azmin, Zuraida saya minta (ketua Baju Merah, Datuk Seri) Jamal (Yunos) buktikan saya proksi Azmin. Berikan bukti jangan buat persepsi negatif, itu fitnah.
"Saya telah memiliki kereta (Proton) Perdana seawal usia 19 tahun. Sebelum saya sertai politik lagi," katanya.
Ditanya pula sama ada gambar viral di media sosial yang menunjukkan beliau memiliki banyak rumah dan kereta, Adam tidak menjawabnya sebaliknya mempersoal adakah memiliki kereta mewah salah bagi ahli perniagaan sepertinya.
"(Rumah) itu tak menunjukkan ia rumah saya. Buktikan itu rumah saya. Jamal boleh pergi bank dan buktikan dengan fakta.
"(Mengenai kereta mewah) tidak jadi kesalahan pada saya untuk memiliki sebarang kereta. Salah ke? Saya bukan penjawat awam," katanya yang turut menafikan dakwaan menyertai politik hanya untuk mendapatkan projek.
Sehubungan itu, Adam berkata beliau akan mengambil tindakan saman kepada Ketua Umno bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo dan Jamal kerana membuat tuduhan jahat terhadapnya.
Bagaimanapun katanya, saman itu akan dibuat selepas siasatan terhadap dirinya selesai.
"Saya akan failkan saman pada Ismail Kijo dan Jamal kerana fitnah dan berikan tuduhan jahat seusai semua urusan mahkamah dan terbukti saya tak bersalah.
"Kita tunggu siasatan (daripada SPRM, LHDN) selesai. Sebab saya dapat tahu Ismail Kijo dan Jamal membuat laporan pada saya.
"Bila selesai (siasatan) saya akan saman pihak yang memfitnah ini," katanya lagi.
Adam mencuri tumpuan selepas Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar mempersoalkan kekayaannya.
Jamal sebelum ini membawa wartawan menaiki helikopter untuk melihat pemandangan banglo Adam di Ampang dari udara yang didakwanya bernilai RM7 juta.
Adam menafikan dakwaan itu dan berkata beliau membeli banglo itu pada harga RM1 juta melalui lelongan.
Ulang siar entri Wartawan Bertanya Apakah Perniagaan Adam, Adam Menjawab, Ianya Rahsia Kerana Bahaya Kepada Perniagaan Jika Diviralkan. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment