Saya Pernah Diugut Suspek Bakar Tahfiz, Lapor Polis Tapi Tiada Tindakan - Pengawal Keselamatan.
Oleh : MalaysianGazette
Seorang pengawal keselamatan di tasik rekreasi terletak belakang Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar mendedahkan pernah diugut oleh suspek yang ditangkap polis semalam.
Hamat Zahidin, 45, yang sudah bekerja selama tujuh bulan di tasik rekreasi terletak di Keramat Hujung semasa ditemui wartawan MalaysiaGazette mengecam semua gambar suspek yang diedar polis selepas ditunjukkan.
“Ya, semua ini saya pernah jumpa mereka melepak di sini, kadang-kadang terserempak mereka memegang beg plastik dalam keadaan khayal.
“Pernah beberapa kali saya tegur mereka supaya tidak buat perkara pelik-pelik di kawasan ini tapi saya pula juga diugut mereka,” katanya.
Hamat memberitahu sering menjumpai suspek pada waktu pagi dan petang, ada antara mereka yang bersekolah dan tidak bersekolah.
Suspek pernah mengugut Hamat untuk memukulnya jika terus menegur dan membuat laporan terhadap aktiviti mereka, ia menyebabkan beliau agak bimbang dengan keselamatan dirinya.
Beliau pernah memberitahu polis mengenai aktiviti tidak bermoral yang dilakukan oleh suspek, bagaimanapun tidak ada sebarang tindakan diambil.
“Saya ada memberitahu polis mengenai aktiviti remaja bermasalah di sini cuma tidak ada tindakan susulan,” katanya lagi.
Mengenai insiden yang menimpa pusat tahfiz itu, Hamat sedih dengan insiden tersebut, malah beliau juga agak rapat dengan tiga beradik pelajar tahfiz dan mereka sering menegurnya.
“Saya agak sedih dengan insiden ini, budak-budak baik tapi diperlakukan macam ini.
“Saya mengenali tiga beradik pelajar tersebut, mereka akan tegur saya setiap kali selesai beriadah. Mereka agak akrab dengan saya dan kadang-kadang mereka ada berbual dengan saya,” kata beliau dengan nada sebak.
Dalam tragedi pagi Khamis itu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran pada 5.15 pagi.
Kesemua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami oleh 36 penuntut dan enam orang guru.
Selain itu, 14 pelajar yang terselamat kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mana dua daripadanya berada di zon merah dan tiga di zon kuning.
Semalam, pihak polis mengumumkan tangkapan tujuh suspek yang terlibat dalam insiden kebakaran tersebut dan semua mereka kini akan direman untuk siasatan lanjut.
Polis menyifatkan kes kebakarsn tersebut sebagai selesai susulan tangkapan tujuh individu itu.
Ulang siar entri Saya Pernah Diugut Suspek Bakar Tahfiz, Lapor Polis Tapi Tiada Tindakan - Pengawal Keselamatan. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment