Benarkah Al-Manna (Gam Arab) Penawar Pelbagai Penyakit?

 On Sunday, May 21, 2017  

Benarkah Al-Manna (Gam Arab) Penawar Pelbagai Penyakit?

Benarkah Al-Manna (Gam Arab) Penawar Pelbagai Penyakit?

Oleh : Ad-Dien
 
Allah subhanahu wa ta'ala berfirman:

وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ وَأَنزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ ۖ كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ ۖ وَمَا ظَلَمُونَا وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ﴿٥٧﴾
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): "Makanlah daripada makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu." Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka menganiaya diri sendiri. [Surah al-Baqarah 2:57]


Al-Manna ialah Gam Arab?

Penisbahan al-Mann/al-Manna sebagai gam arab secara mutlak adalah tidak tepat dan tidak dapat dipastikan dengan jelas. Para ulama’ tafsir berbeza pendapat dalam menjelaskan maksud dan ciri-ciri sebenar al-Manna. Berikut dibawakan perbezaan pandangan ulama’ tafsir tentang al-Manna yang disebutkan oleh Imam al-Tabari (wafat 310H) dalam tafsirnya:

1. Berkata Mujahid (wafat 104H): “al-Manna ialah getah/gam.”

2. Qatadah (wafat 118H) mengatakan: “al-Manna diturunkan kepada mereka (orang Bani Israel seperti salji). Sebahagian yang lain mengatakan al-Manna ialah minuman.”

3. Sebahagian ulama’ turut mengatakan al-manna ialah sesuatu yang melekat seperti gam tetapi bukanlah gam itu sendiri. Al-Rabi‘ bin Anas (wafat 139H)mengatakan: “al-Manna ialah minuman yang diturunkan kepada mereka (Bani Israel) seperti madu kemudian mereka mencampurkannya dalam air dan meminumnya.” Berkata sebahagian yang lain, “al-Manna ialah madu.” Pendapat ini juga dipersetuju oleh Ibn Zaid yang mengatakan al-Manna ialah madu yang diturunkan daripada langit.

4. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Amir bin al-Husaib berkata: “Madu kalian ini hanyalah satu bahagian daripada 70 bahagian al-Manna.” 

5. Wahab bin Munabbih (wafat 114H) mengatakan: “Roti yang nipis.”


Tidak Diketahui Secara Pasti

Terdapat pelbagai lagi tafsiran para ulama’ tafsir tentang al-Manna ini seperti yang disebutkan sebelumnya. Kesimpulannya diulas dengan baik oleh Imam Ibn Kathir (wafat 774H) dalam tafsirnya:

“Ucapan-ucapan para ahli tafsir dalam menjelaskan maksud al-Manna saling berdekatan maknanya. Sebahagian daripada mereka menjelaskan al-Manna itu merupakan sejenis makanan. Sebahagian yang lain menjelaskan ia merupakan sejenis minuman. Hakikatnya, wallahua’lam ia merupakan setiap apa yang Allah kurniakan kepada mereka (Bani Israel) daripada makanan dan minuman dan selain daripadanya yang mana mereka tidak perlu mendapatkannya dengan bekerja (mencari/menanam) dan berpenat lelah.

Yang masyhur ialah jika ianya dimakan begitu sahaja, maka ia menjadi makanan dan manisan. Jika ia dicampur dengan air, maka ia akan menjadi minuman yang enak. Jika al-Manna itu dicampur dengan sesuatu yang lain (e.g masakan,adunan etc) maka ia menjadi sesuatu yang lain pula. Namun begitu, tidak ada satu ayat pun yang memberi maksud tertentu baginya (al-Manna).” [Tafsir ibn Kathir 1/267]


Al-Manna Dalam Hadith

Tidak ditemukan suatu ayat al-Quran yang menjelaskan tentang al-Manna secara terperinci seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Kathir. Begitu juga dalam hadith. Namun ada hadith yang memberi gambaran kasar tentang al-Manna antaranya ialah hadith riwayat al-Bukhari, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الْكَمْأَةُ مِنَ الْمَنِّ وَمَاؤُهَا شِفَاءٌ لِلْعَيْنِ

Al-Kam-ah sebahagian daripada al-Manna. Airnya dapat dijadikan ubat bagi sakit mata. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Apa itu al-Kam-ah?

Ia adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga cendawan/kulat yang hidup di dalam tanah seperti ubi kentang. Ia dikenali sebagai truffle dalam bahasa Inggeris yang mana sebahagian daripadanya menjadi makanan yang termahal di dunia.


Truffle yang dikatakan sebagai makanan termahal di dunia. $330,000 untuk 1.5KG
http://ift.tt/2r6cPPp

Imam an-Nawawi (wafat 676H) ketika menghuraikan maksud al-Kam-ah ini membawakan perbezaan pendapat para ulama’ hadith:

1. Al-Kam-ah menyerupai al-Manna sahaja yang mana ianya diturunkan oleh Allah kepada Bani Israel. Ini kerana manusia mendapatkannya tanpa sebarang kos, memberinya ubat/baja, menyiramnya dan sebagainya. Maksud yang boleh difahami disini ialah ianya tidak perlu ditanam dan diusahakan kerana ianya tumbuh sendiri. Ini merupakan pendapat kebanyakan ulama’ hadith.

2. Al-Kam-ah itu sebahagian daripada al-Manna yang diturunkan oleh Allah kepada Bani Israel secara hakiki. Mereka memegang kepada zahir lafaz hadith ini.

[Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 14/4] 

Imam ibn Al-Jauzi (wafat 597H) menambah pendapat yang ketiga yang mana pandangan ini mirip kepada pendapat al-Rabi’ bin Anas:

3. Al-Kam-ah ialah sesuatu yang gugur daripada dahan pokok di sebahagian negara. Ianya menyerupai madu yang dicampur. Ini merupakan pendapat Abu Abdullah al-Humaidi. [Kasyf al-Musykil 1/258]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (wafat 852H) membawakan satu lagi pandangan:

4. Al-Kam-ah ialah tumbuhan yang tidak berdaun (pada dahan) dan tidak berbatang yang tumbuh di atas muka bumi dan tidak perlu ditanam. [Fath al-Bari 10/163]

Pandangan Ibn Hajar al-Asqalani ini lebih mendekati makna dan hakikat tumbuhan tersebut pada hari ini.

Beza cara tumbuh al-Kam-ah dan cendawan biasa.

Al-Kam-ah pada hari ini. Dikorek untuk mendapatkannya.



Bentuk al-Kam-ah asli yang baru dikutip.

Ubat Untuk Mata

Pelbagai pandangan ulama’ berkaitan dengan makna sebenar al-Manna yang juga digelar “hadiah dari langit” bagi kaum Bani Israel. Perbezaan pendapat yang agak banyak berlaku kerana tidak ada satu riwayat pun yang menjelaskan maksud al-Manna secara terperinci.

Begitu juga dengan fungsi, kegunaan dan khasiatnya.

Yang disebutkan daripada hadith yang sahih hanyalah khasiat al-Kam-ah yang dikatakan menyerupai atau sebahagian daripada al-Manna menurut pandangan sebahagian ulama’. Kalaupun kita menerima bahawa al-Kam-ah itu ialah al-Manna sepenuhnya, tetap tidak ada dalil yang sahih yang menyebutkan khasiatnya melainkan ianya ubat untuk mata sebagaimana yang disebutkan dalam hadith diatas.

Itulah yang diamalkan oleh ulama’ yang mengalami sakit mata seperti Abdullah bin Ahmad bin Hanbal, Imam Kamal bin Abd al-Dimasyqi dan sebagainya. Riwayat dan kisah-kisah mereka yang mengamalkan al-kam-ah sebagai ubat mata disebutkan panjang lebar oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani. [Fath al-Bari 10/165]

Maka, dakwaan bahawa al-Manna itu menyembuhkan atau mampu menjadi penawar bagi penyakit tertentu selain daripada sakit mata, tidak sahih daripada mana-mana riwayat hadith. Yang disebutkan dalam hadith hanyalah sakit mata.

Oleh kerana itu, maka khasiat al-Manna/al-kam-ah (truffle) kembali kepada kajian perubatan atau pakar tumbuhan yang dapat membuktikannya berdasarkan ilmu yang tepat. Dakwa al-Manna/gam Arab penawar bagi penyakit buah pinggang, diabetes, sakit jantung dan sebagainya hendaklah mendapat pengesahan daripada pihak yang berautoriti. 

Setiap dakwaan hendaklah berdasarkan bukti dan ilmu yang tepat. Bukti terbaik untuk menentukan khasiat apa jua tumbuhan/makanan yang tidak disebutkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah melalui kajian daripada ahlinya.

Wallahua’lam.

Ulang siar entri Benarkah Al-Manna (Gam Arab) Penawar Pelbagai Penyakit? bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
Benarkah Al-Manna (Gam Arab) Penawar Pelbagai Penyakit? 4.5 5 Unknown Sunday, May 21, 2017 Benarkah Al-Manna (Gam Arab) Penawar Pelbagai Penyakit? Oleh : Ad-Dien   Allah   subhanahu wa ta'ala   berfirman: وَظَلَّلْن...


No comments:

Post a Comment