'Haruan Makan Anak', Jangan Salahkan Mangsa.

 On Thursday, August 17, 2017  

'Haruan Makan Anak', Jangan Salahkan Mangsa.

'Haruan Makan Anak', Jangan Salahkan Mangsa.

Oleh : Hana Hadzrami
HARUAN
Tak terkata apabila membaca kisah haruan makan anak baru-baru ini. Antara banyak-banyak kejadian, inilah yang paling teruk yang saya pernah baca.
Namun yang lebih teruk dari itu adalah komen-komen sebilangan netizen mempertahankan si ayah dengan mengatakan anak itu sendiri yang menggoda ayahnya. Anak itu sendiri yang rela kerana membiarkan saja kejadian berlaku bertahun-tahun tanpa membuka mulut. Anak itu membuat cerita kerana cemburukan adik-adiknya. Dan bermacam-macam spekulasi lagi.
Ia cuma menunjukkan yang terdapat dikalangan kita yang berpenyakit dihati dan tak segan mempertontonkan penyakitnya.
Tahukah anda yang kebanyakan jenayah seperti itu telah dirancang dengan baik?
🔹   Anak kecil yang didera secara seksual kebanyakannya dipilih secara teliti. Mereka selalunya mempunyai personaliti pendiam, rendah keyakinan diri serta terlalu hauskan perhatian dan kasih sayang. Pendera akan memancing anak itu dengan menyifatkannya sebagai istimewa.
🔹   Anak yang bakal didera secara seksual akan diasingkan dari anggota keluarganya yang lain. Jika tak dapat diasingkan secara fizikal (rumah berlainan atau bilik berlainan), anak tersebut akan diasingkan secara psikologikal.
🔹   Asingan secara psikologikal ialah pendera akan membuatkan anak tersebut bergantung kepercayaan sepenuhnya kepada dia. Dia pada mulanya akan meyakinkan hanya dia saja yang mampu menyayangi anak itu sepenuhnya.
🔹   Penderaan seksual berlaku dengan keyakinan hanya itulah cara untuk menyampaikan kasih sayang dan membuktikan hubungan mereka sebagai istimewa.
🔹   Jika anak itu menolak, pendera akan meyakinkan bahawa anak itu sebenarnya tiada harga diri dan tak layak disayangi sesiapa kecuali oleh si pendera tadi. Apatah lagi jika anak itu pula dituduh menipu apabila cuba mengadu kepada orang yang dipercayai.
Oleh kerana itu, anak itu akan kekal bersama pendera selama bertahun-tahun akibat di brainwash. Malah kerap kali, anak itu sendiri akan datang kepada pendera tanpa dipaksa-paksa untuk menurut suruhannya.
Cara yang sama digunakan untuk mengawal pengikut ideologi komunisme dan kultus yang mengarut.
Perkara yang sama juga yang membuatkan isteri yang mengalami penderaan fizikal selama bertahun-tahun akan kekal bersama suami yang menderanya.
🔹   Suami tersebut mulanya akan mengasingkan isterinya jauh dari keluarga dan sahabat baiknya dengan berpindah ke tempat jauh, supaya isteri itu akan kehilangan sistem sokongan.
🔹   Kemudian dia akan mendera isterinya secara mental dengan mengatakan isterinya bodoh dan tak layak disayangi. Hinggalah isteri tersebut hilang identiti dan harga dirinya dan benar-benar percaya yang dia tak layak disayangi.
  🔹   Hanya selepas itu dia akan mula mendera isteri secara fizikal. Apabila wanita itu cedera didera, si pendera tadi akan menyalahkan si isteri dengan mengatakan isteri itulah yang menyebabkan suami berang dan gagal mengawal diri. Hingga isteri tersebut benar-benar percaya bahawa dia sebenarnya layak dipukul dan suaminya tak bersalah kerana gagal mengawal diri.
Begitulah kitaran penderaan berterusan hingga akhirnya isteri tersebut mati didera atau berjaya diselamatkan. Statistik di USA menunjukkan kematian wanita akibat penderaan rumahtangga adalah lebih tinggi dari akibat kemalangan jalanraya dan kematian akibat dibunuh orang asing digabungkan bersama.
Pendera seperti itu adalah pemanipulasi manusia yang paling licik; berlagak sopan dan alim di depan masyarakat tetapi zalim dan ganas di depan mangsa. Jadi tak guna kita menyalahkan kenapa isteri yang didera tak melarikan diri, atau tetap menyebelahi suami. Ini kerana, seperti anak mangsa penderaan seksual; mereka juga telah di brainwash pemikirannya.
Adalah tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk peka dan mengambil langkah pro-aktif mengesan dan menyelamatkan mangsa-mangsa seperti ini. Mereka yang telah hilang harga dan keyakinan diri, takkan mampu menyelamatkan diri sendiri; kecuali hanya dengan keajaiban dan keazaman yang kuat.
Pendek kata; kita sebagai masyarakat, jika tak mahu membantu, sekurang-kurangnya janganlah menambah bebanan mereka yang didera.
Berkata lah yang baik-baik, bukannya membuat spekulasi yang bukan-bukan. Lebih-lebih spekulasi yang memburuk-burukkan mangsa yang tak berdaya.
Kita juga akan ditanya Tuhan nanti, tentang apa peranan kita apabila melihat kejahatan bermaharajalela didepan mata.

Ulang siar entri 'Haruan Makan Anak', Jangan Salahkan Mangsa. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
'Haruan Makan Anak', Jangan Salahkan Mangsa. 4.5 5 Unknown Thursday, August 17, 2017 'Haruan Makan Anak', Jangan Salahkan Mangsa. Oleh : Hana Hadzrami HARUAN Tak terkata apabila membaca kisah haruan makan anak ...


No comments:

Post a Comment