Awas : Skim Alfafa Beli Banglo Murah Kembali Menipu Pengguna.
Oleh : SALKUKHAIRI ABD SUKOR
IKTIBAR DARIPADA KISAH BOS ALFAFA YANG KEMBALI VIRAL
Sehari dua ni viral balik kisah bos Alfafa yang beberapa tahun lepas terlibat dengan skim jualan banglo murah yang meragukan.
Semuanya gara-gara beliau "dikantoikan" oleh Khairul Ezuwan (KEY) ketika cuba mempromosikan "projek" baru beliau di sebuah masjid.
Kalau dulu beliau jual banglo murah, kali ni katanya cuma bina rumah atas tanah milik tuan tanah yang berminat.
Saya masih ingat lagi lebih kurang 2 tahun lepas ketika tengah hangat isu tentang penjualan banglo murah Alfafa, saya dan team HartaGuam pernah menghantar surat jemputan rasmi untuk berdialog secara tertutup dengan Alfafa tentang perjanjian yang mereka gunakan dalam transaksi jual beli banglo tersebut.
Bahkan kami bagi mereka peluang untuk tetapkan waktu, tarikh dan tempat untuk sesi dialog tersebut. Bukan itu sahaja kami bagi mereka peluang ajak sekali semua peguam mereka yang sediakan perjanjian tersebut untuk hadir ke sesi dialog tersebut.
Sebagai peguam, kami hendak lihat sendiri perjanjian tersebut dan berbincang secara "legal to legal" dengan peguam-peguam mereka tentang perjanjian tersebut.
Sebab kami peguam ni telah dilatih untuk tidak hanya mempercayai sebarang "hear say" melainkan setelah mendengar sendiri penjelasan dan melihat sendiri secara rasmi dokumen jual beli tersebut daripada tuan punya badan.
Tetapi malangnya hasrat yang ikhlas daripada kami itu disambut dengan seribu satu dalih dan alasan yang tidak masuk dek akal. Bukan itu sahaja, kami pulak yang disalahkan nya.
Bahkan saya sendiri pernah diburuk-burukkan oleh beliau, kononnya buat semua perkara ni sebab nak cari populariti untuk dapatkan kes dan client.
Usaha kami untuk mencari kebenaran tidak terhenti setakat itu sahaja. Kami pernah tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk kes Alfafa. Kami buka peluang kepada pembeli - pembeli yang terlibat dengan pembelian banglo murah tersebut datang bertemu kami untuk dapatkan nasihat perundangan. Tetapi kami tidak tahu apa masalahnya, tidak ramai pembeli yang terlibat datang bertemu team kami. Yang pm di fb ada jugak lah. Tetapi bila suruh datang berjumpa tidak mahu.
Kemudian kami dengar khabarnya pembeli - pembeli tersebut takut untuk bawa kes ni ke tengah. Dan kononnya mereka tidak yakin dengan peguam-peguam HartaGuam dapat menyelesaikan kes mereka dengan sebaiknya.
Tak mengapalah, jika orang tak sudi kami tak boleh paksa. Itu hak mereka masing - masing.
Namun begitu kami tetap teruskan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ciri-ciri projek perumahan yang meragukan dan perlu dielakkan. Harapan kami sekurang - kurangnya masyarakat sedar dan dapat menilai dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan pembelian projek perumahan yang meragukan, bertentangan dengan undang - undang dan amalan guaman hartanah yang sebenar.
Wakil peguam HartaGuam juga pernah hadir sebagai peguam pemerhati pada kes saman pemula oleh Alfafa terhadap Tn. Afyan Mat Rawi yang berkesudahan saman pemula tersebut ditolak oleh Mahkamah.
Sebenarnya bukan pembeli sahaja yang tidak berpuas hati dengan Alfafa. Tuan tanah yang telah masuki perjanjian usahasama dengan Alfafa pun turut rasa terpedaya.
Bahkan ada tuan tanah yang datang berjumpa kami untuk mendapatkan pandangan tentang perjanjian usahasama yang telah dimasuki merasa terkejut setelah di terangkan kepada mereka semua terma yang tertulis dalam perjanjian dan surat wakil kuasa tersebut.
Setelah dilihat kesemua terma dalam perjanjian tersebut kami dapati ianya memang tidak berpihak kepada tuan tanah sepenuhnya.
Bahkan yang menyedihkan lagi, geran tanah asal telah diserahkan kepada mereka dan tuan tanah juga telah tandatangan Surat Wakil Kuasa Penuh yang tidak boleh dibatalkan (Full and Irrevocable Power of Attorney) kepada mereka.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, kaveat juga telah dimasukkan oleh mereka ke atas tanah tersebut. Tempoh usahasama pula 7 tahun dan siap ada extension lagi.
Pendek kata, tuan tanah seperti telah "digantung hidup-hidup" melalui perjanjian tersebut. Mereka hanya mempu lihat sahaja tanah mereka yang seolah-olah telah "tergadai" di depan mata. Menyesal memanglah menyesal. Tetapi nak buat macam mana, nasi sudah menjadi bubur.
Dari segi perundangan semua transaksi tertakluk kepada perjanjian yang telah ditandatangani. Dan tindakan yang boleh diambil masih juga tertakluk kepada peruntukan dalam perjanjian tersebut. Suka atau tidak itulah hakikatnya.
Jadi nasihat saya, beringatlah wahai sekalian masyarakat. Janganlah sewenang-wenangnya memasuki apa-apa perjanjian dengan mana-mana pihak atau menyerahkan apa-apa bayaran kepada mana-mana pihak atau menerima apa-apa bayaran daripada mana-mana pihak sebelum anda dapatkan nasihat perundangan yang sewajarnya daripada peguam hartanah anda sendiri.
Carilah ilmu-ilmu asas tentang transaksi hartanah yang sekarang dah banyak dan boleh di akses di media sosial dan sebagainya.
Jangan pandang remeh tentang semua ini. Jangan dek kerana tertarik dengan harga yang murah atau ditawarkan dengan wang puluhan ribu ringgit anda jadi "cair" dan singkat akal.
Ambil masa dan dapatkan nasihat perundangan yang sewajarnya daripada peguam hartanah yang berpengalaman. Kalau perlu keluarkan sedikit wang untuk bayar khidmat mereka, bayar lah. Ianya lebih berbaloi berbanding dengan anda kerugian puluhan ribu ringgit macam tu sahaja. Nak kumpul duit dan nak dapatkan tanah bukan senang. Akhirnya lebur begitu sahaja.
Sebab itu lah melihatkan masalah ini, saya dan team HartaGuam akan terus bersemangat berkongsi dengan masyarakat berkenaan ilmu-ilmu asas perundangan hartanah. Harapan kami supaya masyarakat jadi celik dan cakna dengan risiko-risko yang bakal dihadapi dalam transaksi hartanah dan terhindar daripada menjadi mangsa penyelewengan pihak-pihak yang suka " menangguk di air keruh" ini.
Kalau nak jadi jugak, sekurang kurangnya kami telah berusaha menjalankan tanggungjawab kami dan ada saksi kami di hadapan Allah kelak yang kami telah usahakan sebaik mungkin memberi kesedaran kepada masyarakat.
Selebihnya kami serahkan kepada Allah. Yang pasti perkara yang hak akan tertegak juga dan yang batil akan hancur juga akhirnya. Insya Allah.
Ulang siar entri Awas : Skim Alfafa Beli Banglo Murah Kembali Menipu Pengguna. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
No comments:
Post a Comment