Pasangan Warga Emas Islam Hidup Menumpang Di Tokong Cina.

 On Monday, April 22, 2019  

Pasangan Warga Emas Islam Hidup Menumpang Di Tokong Cina.

Pasangan Warga Emas Islam Hidup Menumpang Di Tokong Cina.

Sepasang warga emas terpaksa menumpang di kawasan tokong Cina di Masjid Tanah sejak hampir dua tahun lalu selepas dihalau keluar dari rumah disewa mereka di Kampung Lekok.


Rosli Abdullah,73, dan isterinya Faridah Ali, 62, mendiami kawasan tokong yang agak tersorok dan jauh dari jalan besar kerana kegagalan mereka menjelaskan tunggakan sewa rumah.

Rosli berkata, perkara tersebut berlaku apabila dia tidak lagi mampu bekerja selepas disahkan menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk angin pasang, kencing manis dan darah tinggi.

"Saya buntu tak tahu nak pindah ke mana selepas dihalau keluar. Dengan bantuan seorang rakan, dia menawarkan kami mendiami bangsal yang terletak di bahagian belakang tokong dengan kemudahan sebuah bilik.

"Disebabkan berstatus Penduduk Tetap (PR) saya juga sukar untuk mendapat sebarang bentuk bantuan dan hanya bergantung kepada wang bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima isteri sebanyak RM230 untuk meneruskan kehidupan,"
katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, mujur pengurusan tokong beri kebenaran dan tinggal secara percuma di kawasan itu.

"Mereka tidak minta bayaran sewa jadi pakcik bantu jaga tokong termasuk sapu sampah dan bersihkan kawasan ini.

"Bila kami tinggal di sini mereka tidak bimbang berlaku kecurian di tokong," katanya.

Katanya, dia yang berbangsa Cina dan berasal dari Singapura telah memeluk agama Islam pada 1980 serta berkahwin dengan isterinya yang berbangsa Melayu.

Tambahnya, sepanjang tempoh perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan tiga orang anak termasuk dua lelaki dan seorang perempuan.

Rosli berkata, dia berharap sangat dapat tinggal bersama anak perempuannya di Kampung Tangga Batu jika diminta keluar dari kawasan berkenaan.

"Sekurang-kurangnya anak dan menantu boleh tengok kami suami isteri yang perlu ulang alik ke hospital kerana masalah kesihatan," katanya.

Sementara itu, menantunya, Mahyuddin Yusod,47, berkata, dia hairan apabila kisah mertuanya itu tular di media sosial selepas dia menghantar video tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, dia merakamkan video tersebut kerana mahu membantu kedua mertuanya itu mendapatkan tempat tinggal selepas kedua-dua abang iparnya seolah-olah tidak mahu mengambil berat keadaan mereka.

"Sebenarnya niat saya nak berikan video ini kepada wakil Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) sebagai bukti saya memerlukan bantuan membina sebuah bilik yang selesa bagi emak dan ayah mertua saya ini.

"Walaupun sukar namun saya berasa tanggungjawab nak menjaga mereka, tapi saya tak mampu nak bina bilik dengan pendapatan sebagai pemandu van kilang ditambah pula tiga orang anak masih bersekolah,"
katanya.

Tambahnya, dia bukan meminta rumah baharu tapi cukup sekadar sebuah bilik yang selesa untuk kedua-duanya berlindung dari panas dan hujan.

Justeru, Mahyuddin berkata, dia berharap orang ramai tidak terus menghukum kedua mertuanya itu, sekali gus berhenti menularkan video yang dirakamkan itu.

"Seminggu sekali jika ada kelapangan saya akan datang melawat mereka. Lagipun sampai bila mereka akan tinggal di sini.

"Tambahan pula bilik air agak jauh dan membahayakan mereka, terutamanya pada waktu malam,"
katanya.


Sumber : Sinar Harian.

Ulang siar entri Pasangan Warga Emas Islam Hidup Menumpang Di Tokong Cina. bertujuan berkongsi bahan bacaan ringan dalam lingkungan rakan blogger dan jaringan sosial tanpa melibatkan sebarang keuntungan. Dengan penghargaan kepada Ameno World iaitu sumber atau penulis asalnya. Much more respect from Dop Paka Sikit Arang.
Pasangan Warga Emas Islam Hidup Menumpang Di Tokong Cina. 4.5 5 Unknown Monday, April 22, 2019 Pasangan Warga Emas Islam Hidup Menumpang Di Tokong Cina. Sepasang warga emas terpaksa menumpang di kawasan tokong Cina di Masjid Tanah...


No comments:

Post a Comment